PETALING JAYA, 13 Mei: Sebahagian rakaman audio yang didakwa berlaku ketika mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PPBM sebelum membuat keputusan keluar dari Pakatan Harapan tersebar di media sosial hari ini.
Dalam rakaman Bahagian 1 berdurasi seminit lebih itu yang dinaikkan oleh laman facebook Bersatu Tv , satu suara mirip presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin didengar memberitahu mesyuarat supaya memberi mandat kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan PH.
“Kita nak cari sebab lah, kalau kita nak cari sebab itulah. Yang lain-lain pun kena gerak jadi langkah itu mungkin boleh trigger.
Tapi kita harap Tun akan buat rombakan kabinet dalam tempoh sebelum parlimen bersidang… tempoh dalam seminggu ini selesaikan semua sekali.”“Dan di kala itu mungkin kita boleh tunggulah bila Tun jumpa dengan ketua presiden parti, okay we wait for one week, for whatever it is, then we will be more sober. Hari ni a bit emosional.
(terjermahan: Oklah kita tunggu selama satu minggu, untuk apa sahaja, maka kita akan lebih tenang. Hari ni agak emosional).
“Dan kita fikirkan soal yang paling besar dalam sejarah kita iaitu out of PH moving to the coalition, but we still be the government. Government led by Bersatu, that is important,”
(terjermahan: ..Keluar dari PH untuk berpindah dari gabungan, tapi kita masih menjadi kerajaan. Kerajaan yang dipimpin Bersatu, itu penting)
So kalau mungkin wajar munasabah dan nak hari ini kalau boleh kita tamatkan mesyuarat kita dan pada dasar lepas itu kita bagi mandat penuh pada Tun.
Kalau kita tak bagi mandat, kita kena bermesyuarat sekali lagi. Ok? Beri ,mandat kepada Tun.
It is Tun punya kebijaksanaan. Tak pernah kita ragukan kebijaksaan Tun. “
-transkrip audio lelaki mirip suara Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Suara lelaki tersebut juga berkata supaya menunggu seminggu lagi sebelum membuat keputusan keluar PH, tetapi masih berada dalam kerajaan dipimpin Bersatu.
Video itu dikatakan menjadi bukti bahawa Bersatu belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada untuk keluar PH pada 23 Februari.
Sebelum ini, ketua penerangan Bersatu, Radzi Jidin mendakwa keputusan telah dibuat dalam mesyuarat berkenaan dan Mahathir menyokong keputusan untuk meninggalkan PH sebelum akhirnya merubah fikiran.
“Saya ingin menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Februari 2020 telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.
..perancangan untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politk baharu diketahui dan disokong oleh YAB Tun Sendiri. Hanya di saat-saat akhir di mana perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, YAB Yun mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti.
” – Radzi Jidin
Pada malam 23 Februari, Muhyiddin dan pemimpin Bersatu yang lain telah mengadakan pertemuan yang diketuai bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, pemimpin Umno dan PAS di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, dalam apa yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.
Insiden ini telah mencetuskan krisis politik selama lebih seminggu setelah akhirnya Mahathir meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.
Pakatan Harapan kemudian menyerahkan nama Anwar Ibrahim sebagai calon PM manakala pihak satu lagi meletakkan Muhyidin sebagai calon mereka kepada Yang DiPertuan Agong.
Krisis itu berakhir apabila Agong mendapati Muhyiddin memiliki sokongan majoriti setelah memanggil setiap ahli parlimen mengadap baginda seorang demi seorang.
Muhyidin kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke 8 dari gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) pada 2 Mac. -Buletin TTKM-