36 ADUN Kedah menghadap Sultan Kedah hari ini

ALOR SETAR 15 Mei: Nasib menteri besar Kedah, Dato Mukhriz Mahathir dan kerajaan negeri PH bakal ditentukan hari ini apabila seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dijadualkan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di Wisma Darul Aman.

Beberapa ADUN daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, lapor Bernama.

ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang juga Pengerusi Amanah Kedah berkata beliau telah menerima surat jemputan daripada Istana Anak Bukit, hari ini, untuk menghadap Sultan Sallehuddin pada petang ini.

“Betul, saya baru terima… dapat jemputan. Jemputan saya untuk sesi petang,” – Datuk Phahrolrazi Zawawi

ADUN daripada DAP, Teh Swee Leong (Kota Darul Aman), juga mengesahkan menerima jemputan itu.

“Akan menghadap Sultan Kedah pada jam 3.30 petang,” – Teh Swee Leong

Seorang ADUN PAS yang enggan dinamakan pula berkata, beliau dijemput menghadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman pada jam 10 pagi.

ADUN Bebas, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) turut mengesahkan menerima surat jemputan itu untuk hadir pada sebelah pagi.

Jemputan menghadap itu dipercayai susulan perkembangan politik Kedah.

Selasa lalu, ADUN Lunas, Azman Nasrudin serta Dr Robert mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhammad Sanusi mendakwa empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Dato Takiyudin berkata sebanyak 23 akuan bersumpah (SD)  diserahkan kepada Sultan Kedah ketika presiden Umno, PAS dan Bersatu mengadap baginda di Kuala Lumpur.

“Mereka memaklumkan kepada sultan bahawa ketiga-tiga parti bersetuju dengan calon yang dinamakan dalam SD berkenaan bagi menggantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah,”  – Takiyudin 

Selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran pusat, beberapa negeri pimpinan Pakatan Harapan telah tumbang ke tangan Perikatan bermula di Johor, Melaka dan kemudian di Perak. Pakatan Harapan kini hanya kekal memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah manakala kedudukan kerajaan Pakatan Harapan di Kedah ibarat telur di hujung tanduk bakal ditentukan hari ini. – Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.