April 19, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Gerakan U-turn: Kini sebulat suara sokong Muhyiddin

SHAH ALAM – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan rakyat dan negara terutamanya dalam menghadapi situasi kritikal ketika ini untuk memerangi jangkitan koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, apa yang rakyat mahu pada ketika ini adalah untuk kerajaan mengukuhkan semula ekonomi negara dan memutuskan rantaian Covid-19 dengan segera.

Menurutnya, negara kini menerima impak teruk susulan Covid-19 sehingga ekonomi meleset, rakyat hilang pekerjaan dan sebagainya, lapor Sinar Harian.

“Disebabkan itu Malaysia perlu kekalkan kestabilan politik untuk memulihkan ekonomi bagi melawan Covid-19.

“Malah, di bawah kepimpinan Muhyiddin sejak menggalas tugas Perdana Menteri pada 29 Februari lalu, beliau menunjukkan prestasi yang sangat memuaskan dalam tempoh kurang 100 hari,” 

Beliau berkata, sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin dengan pantas mengambil beberapa pendekatan untuk menangani penularan Covid-19 termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terbukti setakat ini pencegahan dibuat sangat berkesan berbanding negara lain.

Menurutnya, kerajaan juga memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion serta Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat PKS Tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Muhyiddin mengotakan janji untuk bertanggungjawab kepada rakyat dan jelas beliau adalah Perdana Menteri yang mengambil berat soal kebajikan rakyat.

“Justeru, Gerakan sebagai parti politik bertanggungjawab serta profesional kini bersama rakyat untuk memberikan sokongan serta kerjasama sepenuhnya kepada Perdana Menteri dalam mengatasi cabaran ketika ini,” 

“Memang ada golongan politik kata, politik lawan tetap lawan tapi ini bukan masanya,” 

Selasa lalu, Barisan Nasional (BN) menegaskan akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika ada usul undi tidak percaya dibuat di Parlimen pada 18 Mei ini.

Gerakan sebelum ini keluar dari Barisan Nasional setelah gabungan tersebut kalah pada PRU-14.

Sebelum ini, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai melalui satu kenyataan pada 25 Nov 2019 berkata sebarang perubahan kerajaan haruslah melalui cara atau pilihan raya yang demokratik.

“Jika tidak, akan berlaku kerosakan yang tidak dapat diperbaiki kepada sistem demokrasi kita dan akhirnya berubah menjadi kekacauan dan keganasan. Inilah yang tidak mahu dilihat oleh masyarakat.”  – Dr Dominic Lau Hoe Chai

Pada PRU 14 lepas, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Susulan prestasi buruk parti itu,  presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan peletakan jawatan.

Sementara itu, Malaysia Dateline melaporkan para penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bukan Melayu disusun agar menyertai Gerakan tidak lama lagi selepas parti itu akan mengisytiharkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber yang tidak dinyatakan Malaysia Dateline, ia sememangnya perancangan Azmin bagi membolehkan Ahli Parlimen dan penyokong bukan Melayu beliau boleh meninggalkan PKR selepas yang Melayu menyertai Bersatu.

“Yang Melayu sertai Bersatu, manakala yang bukan Melayu kita akan cari jalannya. Gerakan adalah sasaran kita. Tunggulah masanya nanti,” 

-Buletin TTKM-

 

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: