KRISIS BERSATU MENJADI BERLIMA, AKHIRNYA BERKUBUR

Oleh: Abdul Azim Roslan

1. Ketahuilah, siapa yang paling beruntung tatkala krisis parti BERSATU sedang memuncak?

2. Ya, Umno dan Pas.

3. Pada awal penubuhan BERSATU, selain menjatuhkan Najib, objektif utamanya ialah agar parti ini bisa menggantikan Umno sebagai parti pilihan utama orang Melayu Islam.

4. Tetapi apa yang dah terjadi kini? BERSATU kini hampir tersembam menyembah Umno-Pas kerana konflik dalaman.

5. Kita ada dua SUA. Satu pilihan Pengerusi, dan satu lagi pilihan Presiden parti. Sehingga kini, ahli parti tak jelas, mana satu SUA yang sah.

6. Ketika awal BERSATU-PH memenangi Putrajaya, kelihatan parti Umno hampir musnah. Ramai MP Umno yang mengelabah dan hilang arah cuba masuk ke dalam parti BERSATU.

7. Tetapi dalam politik semuanya licik. Penerimaan kemasukan MP Umno seperti Hamzah Zainuddin tidak membuatkan parti BERSATU semakin kuat, tetapi akhirnya ia semakin lemah kerana perpecahan.

8. Hamzah Zainuddin dikatakan menjadi antara agen utama (pelobi) kepada usaha untuk membentuk kerjasama Perikatan Nasional (PN) antara parti BERSATU-Umno-Pas-PKR team AA.

9. Begitu juga Azmin Ali, dia menjadi agen dan penghubung kepada usaha ini. Dia menawarkan sokongan sebahagian MP PKR untuk membentuk kerajaan PN.

10. Umno-Pas sedar, sebahagian pimpinan tertinggi BERSATU tidak bersetuju dengan kerjasama ini. Tetapi mereka juga sedar ada sebahagian pimpinan tertinggi BERSATU yang memandang kerjasama PN ini sebagai pilihan utama berbanding PH.

11. Apabila ada dua kem pimpinan BERSATU berbeza pendapat mengenai kerjasama PN ini, pastinya Umno-Pas melihat ini sebagai satu peluang untuk menjatuhkan BERSATU.

12. Jika kerjasama PN ini gagal, Umno tidak rugi apa-apa. Mereka akan kekal sebagai pembangkang. Melalui kerjasama Muafakat Nasional, mereka yakin PRU15 peluang mereka tetap cerah merampas Putrajaya.

13. Tetapi apabila rancangan ini berjaya, Umno boleh kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan disamping ia boleh menghancurkan seteru utama parti politiknya iaitu parti BERSATU.

14. Kill two birds with one stone.

15. Umno melalui bekas MP Umno yang melompat parti ke BERSATU, memulakan gerakan melobi kerjasama ini. Pelbagai pihak cuba diyakinkan dan tindak tanduk sebahagian pimpinan DAP telah memudahkan kerja ini.

16. Akhirnya kerjasama ini berjaya, dan kita boleh lihat apa yang sedang berlaku.

17. Parti BERSATU sedang berpecah dan menjadi semakin lemah. Umno-Pas semakin kuat dan sedang menuai hasil ghanimah melalui jawatan lantikan politik.

18. Didalam peristwa perang Trojan, Greek ada menghantar replika kuda kayu untuk masuk ke dalam kota Troy. Di dalam kuda kayu itu mereka sembunyikan beberapa anggota tentera.

19. Secara diam-diam, tentera Greek ini membuka pintu kota Troy dan membenarkan lebih ramai tentera Greek untuk masuk ke dalam kota Troy, akhirnya kota Troy tumbang ke tangan Greek.

20. Istilah ‘trojan horse’ kini menjadi popular dan digunakan secara meluas. Kebetulan, peristiwa ini seakan kena dengan apa yang sedang berlaku kepada BERSATU.

21. Kiriman ini tidak bermaksud untuk menyalahkan Umno-Pas. Itu memang lumrah dalam kebijaksanaan strategi politik untuk menjatuhkan lawan. Tetapi lebih kepada betapa lemahnya parti BERSATU membaca gerakkan dan strategi politik parti lawan.

22. Kita juga gagal untuk menghalang parti ini daripada diperalatkan oleh orang-orang politik yang bernafsu besar.

23. Selain Hamzah Zainuddin, Azmin Ali merupakan sosok penting. Pelobi kerjasama PN ini merupakan orang politik yang punyai nafsu dan cita-cita besar.

24. Menerima Azmin Ali masuk ke dalam mana-mana organisasi politik perlu untuk diberikan peringatan. Terutamanya kepada orang no 1 atau no 2 dalam hierarki parti politik.

25. Azmin Ali mempunyai sejarah mencantas pimpinan atasan kerana mengejar nafsu politiknya. Lihat apa yang terjadi sewaktu Langkah Kajang, akhirnya dia yang menjadi MB Selangor. Dia juga ingin mencantas Anwar Ibrahim daripada menjadi PM ke 8.

26. Aku secara peribadi dah berikan pandangan mengenai perlunya kita menolak kemasukkan MP Umno ke dalam BERSATU. Aku juga dah berikan amaran mengenai politikus rakus seperti Azmin Ali yang perlu ditolak dan dijauhi.

27. Tetapi suara marhaen ahli parti bawahan tidak ada siapa yang peduli. Suara sumbang anak muda tidak perlu diambil berat.

28. Kini, Tun Mahathir, Mukhriz, Saddiq, Maszlee, Amirudin telah dipecat oleh parti. Mengulangi kesilapan yang seperti mana Umno telah lakukan.

29. Bezanya, parti BERSATU mengulangi kesilapan parti Umno yang telah berusia lebih 70 tahun ketika berusia kurang 5 tahun. Kita menjadi korup pada skala yang jauh lebih cepat!

30. Habis baca nampak? 😜

Ikhlas,
#KANS


Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM. Penulis merupakan ahli Armada PPBM. – Editor.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.