Dari PKR ke PSB: ” Saya katak baik dan bijak” – Baru Bian

BEKAS Menteri Kerja Raya, Baru Bian menyifatkan dirinya sebagai ‘katak yang baik’ apabila mengesahkan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini.

Beliau yang sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak turut menyifatkan, mereka yang keluar daripada parti berkenaan adalah ‘katak yang bijak’, lapor Harian Metro.

Oleh itu, beliau tidak kisah jika ada yang menggelarnya sebagai ‘katak’ kerana kerap bertukar parti sejak menyertai politik pada 1987.

“Biarlah orang hendak kata apa mengenai saya, tetapi mereka harus faham maksud katak dalam politik.

“Kita terpaksa bertukar parti disebabkan pelbagai faktor, antaranya perubahan yang berlaku dalam parti,” 

Baru bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How mengadakan sidang media bersama Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, bagi mengesahkan penyertaan mereka dalam parti itu, hari ini.

Sejarah keahlian Baru Bian:

1987 – menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan jawatan terakhir sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 2003.

2006 – menyertai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 

2008 – menyertai PKR 

Baru berkata, selepas meninggalkan PKR, lebih 80 peratus bekas ahli parti itu di Sarawak mengikuti jejaknya menyertai PSB, namun beliau tidak menyatakan angka yang tepat mengenainya.’

“Apa yang boleh saya katakan ialah semua yang sudah mengisytiharkan keluar daripada PKR kini menyertai PSB,” – Baru Bian.

Ahli Parlimen Selangau itu merupakan antara 27 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat dari PKR ekoran krisis politik sehingga jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin.

Walau bagaimanapun, Baru Bian kemudian melakukan pusingan U dan setelah itu mengisytiharkan dirinya sebagai ahli bebas dan menyokong Tun Dr Mahathir. – Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.