SPRM tiada respon selepas 48 jam, Ahli Armada pula yang ditangkap- Pemuda Amanah.

Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional

TIADA RESPON SELEPAS 48 JAM, ARMADA PULA YANG DITANGKAP

1. Selepas 48 jam membuat laporan di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, serta disusuli dengan laporan di Pejabat SPRM Kelantan dan Kota Kinabalu, Pemuda AMANAH sehingga kini belum menerima apa-apa respon daripada SPRM berhubung “Laporan Salah Laku Sogokan Jawatan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia”.

2. Berdasarkan prosedur SPRM, pihak SPRM perlu memaklumkan kepada pelapor setelah menerima laporan daripada pelapor, samada laporan akan diteruskan dengan siasatan, atau rujuk ke jabatan lain, atau tiada apa-apa tindakan (NFA).

3. Malangnya sehingga kini tiada sebarang pemakluman daripada pihak SPRM. Persoalannya sekarang, apakah laporan yang dibuat itu langsung tidak diambil kira oleh pihak SPRM? Atau lebih menggusarkan, adakah status sebagai Perdana Menteri menyebabkan Tan Sri Muhyiddin kebal daripada Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009?

4. Lebih mengejutkan, SPRM dengan pantas membuat tangkapan terhadap pimpinan ARMADA Bersatu. Dan dijangka lebih ramai pimpinan ARMADA akan ditangkap selepas ini. Laporan ke atas Tan Sri Muhyiddin tiada tindakan, ARMADA pula yang ditangkap.

5. Kami mendesak SPRM segera memulakan siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. SPRM perlu menjalankan siasatan secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Kami tidak mahu SPRM era kerajaan kleptokrat berulang kembali.

Shazni Munir
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

4 Jun 2020 / 12 Syawal 1441H

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.