Peguambela: Tuduhan terhadap Musa Aman bermotifkan politik; beliau telah dibersihkan oleh SPRM, ICAC sebelum ini

Gambar oleh Edge Markets

Kenyataan Media oleh Amer Hamzah Arshad
Peguambela Tan Sri Musa Aman.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Bin Haji Aman (Tan Sri Musa Aman), melalui peguamnya, telah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana salah satu permohonan adalah untuk pembatalan (striking out) pendakwaan terhadap anakguam kami (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-46-02/2020) manakala satu lagi permohonan adalah untuk merujuk persoalan-persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Permohonan Jenayah No. WA-44-47-02/2020).
Permohonan untuk pembatalan pendakwaan tersebut telah difailkan pada 12 Februari, 2020 dan disokong oleh Afidavit Sokongan yang telah menyatakan fakta-fakta, dan melampirkan dokumen-dokumen yang penting dan relevan.
Kedua-dua permohonan tersebut pada awalnya dijadualkan untuk didengar pada 23 & 24 April, 2020. Namun atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan, pendengaran permohonan tersebut terpaksa di tunda dan kes telah dipanggil semula pada hari ini.
Permohonan Pembatalan PendakwaanPermohonan yang difailkan di Mahkamah adalah suatu proses yang di bawah undang-undang. Untuk menyokong permohonan tersebut, kami telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam afidavit sokongan Tan Sri Musa Aman. Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya dari Independent Commission Against Corruption of Hong Kong (“ICAC”) telah dilampirkan di dalam afidavit tersebut.
Secara tambahan, pihak kami juga telah memfailkan Afidavit dari mantan Peguam Negara iaitu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani bin Patail (“Tan Sri Abdul Gani”)
Fakta-fakta yang menyokong permohonan tersebut dirumuskan di sini untuk kemudahan semua pihak.
Penyalahgunaan proses undang-undang
Tan Sri Musa Aman pernah disiasat oleh ICAC dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (“SPRM”) di antara tahun 2008 sehingga 2011. Sepanjang tempoh siasatan yang dilaksanakan oleh ICAC dan SPRM, kedua-dua pihak telah bekerjasama dan berkomunikasi dan menjalankan siasatan masing-masing dengan professional.

Setelah menjalankan siasatan yang menyeluruh, SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah dan wang yang disiasat adalah merupakan sumbangan politik. Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM iaitu Datuk Seri Mustafar Ali. dan telah memaklumkan kepada ICAC melalui surat bertarikh September, 2011 kepada ICAC.
Setelah menjalankan siasatan yang menyeluruh pihak ICAC telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember, 2011 kepada anakguam kami yang menyatakan bahawa siasatan terhadap anakguam telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Tan Sri Musa Aman. Hasil siasatan oleh ICAC jelas menunjukkan bahawa anakguam kami tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap anakguam kami.
Berkenaan dengan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM pada ketika itu, hasil siasatan tersebut telah dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan bahawa anakguam kami tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah dan apa-apa kesalahan penggubahan wang haram.
Hasil siasatan dan keputusan untuk tidak meneruskan atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anakguam kami telah diperhalusi oleh, antara lainnya, Tan Sri Abdul Gani mantan Peguam Negara, Dato’ Sri Tun Abd Majid bin Dato’ Haji Tun Hamzah mantan Ketua Bahagian Pendakwaan, Tan Sri Abu Kassim Mohammad mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan Datuk Seri Mustafar Ali mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan telah melalui saluran undang-undang yang sedia ada.
Perkara ini juga telah dibangkitkan di dalam Parlimen di mana Dato’ Seri Nazri Aziz telah menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan terhadap anakguam kami. Sumbangan-sumbangan yang diterima merupakan sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Tan Sri Musa Aman.
Pendakwaan pada November 2018 adalah bersifat ‘political persecution’?
Selepas Pilihan Raya Umum yang Ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018, Tan Sri Musa Aman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. 48 jam kemudian, Tuan Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Negeri Sabah (“TYT”) telah melantik seorang lagi sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Tan Sri Musa Aman. Tindakan TYT dan perlantikan Ketua Menteri Sabah yang kedua ini dipertikaikan sebagai tidak sah sepertimana di
dalam kes sivil Tan Sri Musa Aman yang sekarang berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Di peringkat awal kes sivil tersebut, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan keputusan pada 7 November, 2018 (“Keputusan Kes Sivil”). Setelah sekian lama Tan Sri Musa Aman telah disahkan tidak melakukan kesalahan rasuah oleh ICAC dan SPRM, pihak berkuasa atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui, telah membuat keputusan untuk menangkap dan mendakwa Tan Sri Musa Aman dua hari sebelum Keputusan Kes Sivil dibuat. Tindakan ini, secara langsung atau tidak langsung telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik beliau. Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap Tan Sri Musa Aman berniat jahat (mala fide) dan merupakan satu penganiayaan politik (political persecution)?
Persoalan ini juga timbul memandangkan pendakwaan pada November 2018 adalah berasaskan keterangan dan fakta yang sama terhadap siasatan rasuah yang telahpun disiasat dengan lengkap dan menyeluruh oleh 2 badan siasatan yang bebas, iaitu ICAC dan SPRM. Perkara ini membangkitkan persoalan apakah motif sebenarnya untuk mendakwa Tan Sri Musa Aman pada November 2018?
‘Political persecution’ dan pendakwaan berniat jahat (mala fide prosecution) ini telah dibangkitkan di dalam permohonan untuk pembatalan pendakwaan kerana apa yang berlaku telah menzahirkan kebarangkalian satu penyalahgunaan proses undang-undang. Sekiranya, pendakwaan diteruskan, ianya akan mendedahkan pihak Kerajaan kepada suatu tindakan undang-undang ‘malicious prosecution’ dari Tan Sri Musa Aman.
Fakta ini, diperkukuhkan lagi apabila, pada 5 Mac, 2019, Timbalan Pendakwa Raya telah melalui penyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan (‘statement of favourable fact to the defence’) di bawah seksyen 51(A)(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Abdul Gani.
Harus ditekankan di sini bahawa dari sudut undang-undang keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara selaku Pendakwa Raya mempunyai suatu nilai yang tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang kukuh kerana setiap keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya akan mempunyai kesan khususnya terhadap individu yang menjadi subjek di dalam sesuatu siasatan atau pendakwaan. Merujuk kepada petikan di dalam penghakiman Mahkamah Rayuan di dalam kes Harun Abdullah v PP [2009] 4 CLJ 717, “It will be a dark day if a Public Prosecutor’s words have no finality and may be ‘broken’ without any compunction”.

Pendakwa Raya yang profesional perlulah konsisten dan mempertahankan keputusan terdahulu yang telah diputuskan selepas melalui proses-proses yang sepatutnya. Apatah lagi apabila pendakwaan pada November 2018 bukanlah berdasarkan kepada fakta baru, tetapi berasakan kepada fakta-fakta yang sama yang telah disiasat dan diputuskan tidak mendedahkan unsur rasuah oleh ICAC dan SPRM. Ini adalah untuk mencerminkan integriti dan professionalisma bukan sahaja bagi pejabat Pendakwa Raya tetapi juga bagi Jabatan Peguam Negara secara keseluruhannya. Maka apa yang telah dilakukan oleh Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Seri Idrus Bin Harun (“Tan Sri Idrus Harun”) adalah sesuatu yang adil dan tepat di sisi undang-undang.
Pertuduhan-pertuduhan terhadap anakguam kami adalah tidak berasas kerana wang-wang yang berkenaan adalah sumbangan dan dana politik
Berkenaan jumlah wang yang menjadi subjek pendakawaan, wang-wang tersebut sebenarnya telah diperjelaskan semasa siasatan terdahulu, di mana ianya merupakan sumbangan-sumbangan politik yang diberikan oleh penyokong-penyokong parti, penderma, orang awam, dan Barisan Nasional/UMNO Pusat bagi kegunaan persediaan pilihanraya kecil dan umum, aktiviti-aktiviti dan perbelanjaan Barisan Nasional/UMNO Sabah. Segala dokumen-dokumen yang relevan dan berkaitan telah dibekalkan kepada kepada SPRM.
Pada semua masa material, sumbangan-sumbangan politik tersebut tidak melibatkan mana-mana projek untuk negeri Sabah, konsesi pembalakan dan bukan atas dasar balas-membalas (not on a quid pro quo basis).
Pemberian ataupun penerimaan sumbangan politik bukanlah merupakan suatu kesalahan di Malaysia. Perkara ini telah disahkan oleh pihak SPRM melalui kenyataan yang telah dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (pada ketika itu) sendiri yang menegaskan bahawa pemberian dan penerimaan sumbangan politik bukan satu kesalahan dan pihak SPRM tidak mempunyai bidang kuasa ke atas urusan sumbangan-sumbangan politik di Malaysia seperti yang dilaporkan di dalam New Straits Times pada 7 October, 2017.
Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, kami percaya Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berserta barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini, telah meneliti, dan mempertimbangkan permohonan yang kami telah failkan di Mahkamah secara objektif dengan mengambil kira segala sudut undang-undang dan juga aspek keadilan.

Atas alasan-alasan yang dinyatakan, Pendakwaan secara professional telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 9 Jun, 2020 bahawa mereka menarik balik kesemua pertuduhan-pertuduhan terhadap Tan Sri Musa Aman selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah Yang Arif Mahkamah Tinggi Dato’ Muhammad Jamil bin Hussin, setelah mendengar hujahan pembelaan berhubung dengan latar belakang kes ini seperti yang mana dinyatakan di atas dan peruntukan undang-undang yang mantap telah menggunakan budi-bicaranya untuk memerintahkan agar Tan Sri Musa Aman dibebas dan dilepaskan (‘discharge and acquitted’) dari semua pertuduhan-pertuduhan.
Pihak pembelaan juga menarik balik permohonan pembatalan pendakwaan yang telah difailkan berdasarkan kepada perkembangan terkini.
Sekian, terima kasih.
Bertarikh 9 Jun, 2020
Amer Hamzah Arshad
Peguambela

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.