Ini kerajaan Muhyiddin, bukan kerajaan Perikatan Nasional – Tun M

KERAJAAN MUHYIDDIN

oleh : Tun Dr Mahathir

1. Saya terpaksa panggil Kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sebagai Kerajaan Muhyiddin.

2. Ramai yang panggil Kerajaan ini Kerajaan Perikatan Nasional.

3. Tetapi Parti Perikatan Nasional tidak wujud. Tidak pernah diadakan acara pelancaran parti ini. Tidak pernah didaftar Perikatan Nasional ini di waktu Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.

4. Rakan dalam perikatan ini isytihar mereka bukan anggota dalam kononnya gabungan Parti Perikatan Nasional. Mereka hanya benar ahli mereka sokong Muhyiddin supaya hasrat Muhyiddin untuk menjatuhkan Pakatan Harapan tercapai. Mereka tentukan jumlah wakil rakyat yang sokong Muhyiddin mencukupi.

5. Sepatutnya Muhyiddin dapat persetujuan Parti Bersatu sebelum dia sertai Perikatan Nasional. Tidak ada rekod yang dia dapat persetujuan Mesyuarat Agong Bersatu atau sekurang-kurangnya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Tiba-tiba dia isytihar dia menyertai Perikatan Nasional.

6. Berkenaan dengan keluar dari Pakatan Harapan pun belum diputus secara muktamad. Sebelum Pakatan Harapan dijatuh, Muhyiddin telah adakan majlis makan malam di Sheraton dengan PAS dan UMNO.

7. Apabila saya sebagai Pengerusi Bersatu tidak bersetuju dengan tindakannya menubuh Kerajaannya, dia cuba adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang sepatutnya dipengerusi oleh saya sebagai Pengerusi parti.

8. Tiba-tiba Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Pengerusi Bersatu. Perisytiharan ini tidak mengikut perlembagaan sama sekali. Dia bukan Pengerusi atau memegang jawatan Pengerusi yang sah.

9. Untuk mengada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi setiausaha kerja mengeluar notis. Sepatutnya Setiausaha Agung (SUA) yang mengeluar notis selepas mendapat arahan dari saya sebagai Pengerusi.

10. Untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi ini Pengerusi dan Timbalan Presiden tidak dijemput. Oleh itu mesyuarat terpaksa dibatal.

11. Untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 4 Jun 2020, Muhyiddin lucut keahlian Pengerusi, Timbalan Presiden dan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang tidak menyokongnya. Dia tidak berkuasa membuat demikian. Sebaliknya ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang baru dilantik yang menyokongnya. Perbuatan ini salah dari segi perlembagaan Bersatu. Oleh itu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga tidak sah.

12. Ketua-ketua Bahagian yang tidak menerima tawaran jawatan olehnya dipecat. Ini juga salah.

13. Kemudian dilantik pengganti dari kalangan ketua-ketua dengan tawaran-tawaran tertentu dan janji untuk memberi duit Kerajaan untuk bantu rakyat melalui pengganti ini. Ini juga salah.

14. Untuk Jemaah Menteri ramai dilantik jika terima tawaran darinya supaya sokong. Calon ditanya “apa hendak” dan lantikan dibuat. Jika tidak ada jawatan, cipta jawatan.

15. Hampir 2/3 dari ahli dewan yang menyokongnya dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri. Yang lain dilantik untuk jadi pengerusi syarikat dan institusi – termasuk mereka yang sedang dihadap ke mahkamah kerana aneka jenis jenayah.

16. Inilah cara Muhyiddin. Perlembagaan, aturan-peraturan, bahkan undang-undang tidak diendah sama sekali. Tak hairanlah dia sanggup menerima dan bekerjasama dengan pencuri, perasuah dan penyangak.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.