JOHOR BAHRU: Penghebah radio, Patrick Teoh, hari ini dituduh di mahkamah berhubung penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor, Mei lalu.
Patrick atau nama sebenarnya, Teoh Kang Yong, 73, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) Akta yang sama.
Dalam satu video yang dinaikkan The Star, Patrick yang memegang tongkat, dibantu seorang wanita. kelihatan mengalami kesukaran untuk berjalan dan hampir terjatuh.
Jika sabit kesalahan, belia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Hakim kemudiannya menetapkan 20 Julai depan bagi serahan dokumen, selain menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syafiq Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen.
Pada 9 Mei lalu, Patrick ditahan polis di Petaling Jaya, yang kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis berhubung hantaran di facebooknya itu. -Buletin TTKM-