Hapuskan tol Bentong, saya sudah tunjuk komitmen- Adun DAP Ketari

Oleh :  YB Young Syefura

Antara modal yang digunakan untuk balas sebarang isu yang saya bangkitkan adalah menggunakan manifesto PRU14 PH Bentong untuk hapuskan tol Bentong.

Macam mana nak laksanakan manifesto ini kalau sekarang PH sudah menjadi pembangkang?

Manifesto PRU14 PH Bentong adalah selari dengan Manifesto PH iaitu ambil alih syarikat konsesi tol secara berperingkat untuk hapuskan segala kutipan tol bagi semua lebuhraya termasuklah Lebuhraya Karak. Berperingkat.

Selama 22 bulan, PH telah tunjuk komitmen terhadap perkara ini dengan kaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk dapatkan harga terbaik bagi ambil alih setiap konsesi lebuhraya bertol dengan matlamat akhir untuk hapuskan kutipan tol secara berperingkat. Berperingkat.

Pada Februari 2020 kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuklah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) berjaya diturunkan sebanyak 18%. PH juga umum akan ambil alih 4 konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang.

Sebagai wakil rakyat bagi DUN Ketari dan di bawah Parlimen Bentong, saya telah tunjuk komitmen saya terhadap perkara ini. Antaranya, memohon secara terus kepada Kerajaan Pusat termasuk kepada Perdana Menteri untuk laksanakan janji ini dan beberapa projek infrastruktur lain di Bentong.

https://www.facebook.com/youngsyefu…/posts/1584746088335651…

Semasa taklimat Belanjawan 2020 bersama Menteri Kewangan, saya turut desak perkara sama. Menteri Kewangan kata cara yang digunakan untuk Lebuhraya PLUS dan 4 konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang akan digunakan untuk lebuhraya lain termasuklah untuk Lebuhraya Karak. Saya telah minta keutamaan diberikan kepada Lebuhraya Karak yang sudah kutip tol lebih daripada 42 tahun dan manfaat besar bukan sahaja warga Bentong malah 3 negeri di Pantai Timur.

Kalau diberi lebih masa, saya pasti akan ada kemajuan dalam usaha untuk hapuskan tol Bentong. Kami juga tidak berjanji, hari ini menang, esok tol akan dihapuskan.

Pertanyaan ikhlas saya kepada warga Bentong dan warga Pahang termasuklah penyokong Perikatan Nasional, adakah anda sendiri mahu dan setuju Tol Bentong dihapuskan? Kalau mahu dan setuju, jom bersama dengan saya untuk terus desak Kerajaan yang kini Kerajaan Perikatan Nasional untuk hapuskan tol ini.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.