Salah guna d@dah: Anak Mat Sabu dipenjara 8 bulan.

KUALA LUMPUR 24 Jun: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap anak Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan penyalahgunaan d@dah di sebuah hotel terkemuka, tahun lalu.

Majistret, Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, lapor Berita Harian.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di Hotel W, di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

Pada April 2019, Mat Sabu berkata beliau menyerahkan kes anaknya itu kepada pengamal undang-undang negara ini yang bertanggungjawab ke atas pendakwaan itu.

“Saya serahkan kepada pengamal undang-undang. Tiada komen. Tidak komen apa-apa,”

Tiada komen dari Mat Sabu setakat ini berhubung hukuman yang baharu dijatuhkan kepada anak beliau itu.-Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.