Hina Jata Negara : “PDRM diarah siasat dan ambil tindakan tegas” – Hamzah

Kuala Lumpjur, 29 Jun: Menteri Dalam Negeri,  Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Polis DiRaja Malaysia supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap kes jata negara diubahsuai, yang dijadikan penghias muka hadapan sebuah buku.

“Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa Lambang Kerajaan Persekutuan, Jata Negara.

Saya telah arahkan PDRM untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera.

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan yang tidak patriotik dan bertanggungjawab ini.” – Dato’ Seri Hamzah Zainudin 

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini.

Buletin TTKM mendapati buku yang meletakkan jata negara diubahsuai itu bertajuk “REBIRTH: REFORMASI, RESISTANCE, AND HOPE IN NEW MALAYSIA”  disunting oleh Kean Wong dan diterbitkan  The Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)  awal tahun ini.

Buku tersebut  merupakan kompilasi beberapa artikel lebih 28 penulis, pengkaji dan beberapa wartawan senior di Malaysiakini.

Menurut laman web Gerakbudaya yang menjual buku tersebut, SIRD diasaskan pada tahun 2000 oleh Chong Ton Sin dan rakan-rakannya.  SIRD menerbitkan  “pelbagai jenis buku, yang memfokuskan khususnya pada buku akademik dengan perspektif kritis dan mesej progresif, dan merangkumi semua disiplin ilmu sains sosial dan kemanusiaan.”

 

Tangkap layar laman web Gerakbudaya.

 

Tangkap layar penyunting buku “REBIRTH: REFORMASI, RESISTANCE, AND HOPE IN NEW MALAYSIA” 

 

Sementara itu, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata jata negara adalah simbol perpaduan negara dan mempunyai makna tersendiri yang diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Beliau menekankan rakyat tidak perlu terikut-ikut dengan budaya asing yang meraikan ‘kreativiti tanpa had”, merujuk kepada perbuatan mengubahsuai jata negara tersebut. 

“Ia simbol perpaduan negara kita yang tercinta kerana pada setiap simbol, ada maknanya tersendiri. Setiap negeri tersenarai. Bulan bintang adalah lambang agama Islam sebagai agama persekutuan.

Kenapa mesti ada elemen subversif yang mencaca-merbakan simbol-simbol penting negara kita? Tidak kira apa alasan pun, kita tak perlu terikut-ikut dengan budaya asing yang meraikan “kreativiti tanpa had” yang semua perkara boleh diperlekehkan dan dipermainkan.” – Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Kandungan artikel di dalam buku tersebut, kredit Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar:

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata perbuatan tersebut jelas merendah-rendahkan dan menghina jata negara.

Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat JATA NEGARA dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

Nampaknya Akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini.

Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak Berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.-  Datuk Asyraf Wajdi Dusuki 

Buletin TTKM difahamkan beberapa NGO dan parti politik hari ini telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

Isu pengubahsuai jata negara tular di media sosial apabila laman FB Tentera Troll Kebangsaan Malaysia menaikkan poster mempersoalkan pengubahsuaian jata negara. Hantaran itu mendapat 2500 perkongsian. -Buletin TTKM-

 

 

 

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version