Jeffrey Chew ditahan bantu siasatan kes rasuah terowong dasar laut

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, menahan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Harian Metro memetik sumber SPRM berkata, bekas Timbalan Bendahari DAP Pulau Pinang itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, dekat Georgetown, 2 petang, tadi.

“SPRM menyiasat kes terowong itu selepas mendapat bukti baharu. Ramai saksi sudah dipanggil termasuk Chew dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang selain individu dari pejabat kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk direkod percakapan,” – sumber SPRM menurut Harian Metro

Difahamkan, Chew akan didakwa di mahkamah, esok.

Beberapa pegawai SPRM turut dipercayai sedang membuat pemeriksaan di kediaman bekas Pengerusi PPC itu di Batu Ferringhi.

Bagaimanapun sumber enggan mengulas lanjut siapa lagi yang akan bakal ditahan.

SPRM dalam satu kenyataan 4 Mac tahun lalu, suruhanjaya itu mengesahkan sudah membuka enam kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan, kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017, manakala lima lagi dibuka pada Januari 2018.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tiga kertas siasatan sudah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.

“Selebihnya, masih dalam siasatan SPRM,”  – Kenyataan SPRM

Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, Raja Petra Kamarudin melalui blognya Malaysia today menyiarkan apa yang dikatakannya kertas siasatan SPRM yang mendakwa Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dan empat Exco Kerajaan Pulau Pinang terbabit rasuah berhubung projek bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun meanfikan dakwaan itu dengan berkata projek terowong dasar laut berkenaan dibuat menerusi proses tender terbuka, sekali gus tidak memungkinkan wujud unsur rasuah dalam pelaksanaannya.

Pada April 2019, seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

MG Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.