Dewan Rakyat, 16 Julai: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berkata rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil makanan tambahan vitamin E, iaitu tokotrinol yang diperoleh dari minyak kelapa sawit merah.
“Suka juga saya bantu YB Seputeh ( Teresa Kok) dalam isu ini. Tentang sesudu minyak sawit. Yang digalakkan ialah sesudu minyak sawit merah, red palm oil. Ini saya mahu bantu YB Seputeh. Tetapi yang saya lebih galakkan ialah vitamin E dari minyak sawit yang dipanggil tokotrinol. ini yang patut diambil oleh rakyat Malaysia. “ – Khairuddin
Tambahnya lagi, beliau ada mengedarkan minyak sawit merah itu secara percuma kepada semua ahli parlimen, ini untuk tujuan kesihatan.
Speaker, Dato Azhar Harun kemudian berjenaka berkata beliau belum dapat dan turut memohon diberikan kepadanya.
“Saya pun nak mohon satu pemberian itu. Saya tidak dapat” – Dato Azhar Harun
Khairuddin berkata demikian sebagai menjawab sindiran dari Jempol yang berkata eksport minyak sawit meningkat sebanyak RM500 juta pada Januari hingga Jun 2020 walaupun tidak minum sesudu pun minyak sawit.
Sebelum ini pihak BN dan PAS memperlekehkan Teresa Kok kerana kempen meminum sesudu minyak sawit merah sehari.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada minggu lalu menegaskan amalan meminum minyak sawit merah sememangnya digalakkan kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.
Terdahulu, Teresa Kok (PH- Seputeh) mempersoalkan sama ada sasaran eksport minyak sawit bagi keseluruhan tahun 2020 akan menepati sasaran setelah kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing atas alasan memberi peluang kepada rakyat tempatan.
Beliau memetik kenyataan pemilik ladang Malaysia yang mendakwa pengeluaran minyak sawit akan jatuh sebanyak 25% dan juga kerugian RM12 bilion setahun sekiranya dasar tersebut diteruskan.
Tambahnya lagi, rakyat Malaysia tidak berminat bekerja sebagai buruh di ladang-ladang kelapa sawit dan lebih memilih untuk menjadi penyelia dan pengurus.
Khairuddin, walau bagaimanapun, menyifatkan kenyataan Kok itu sangat mengejutkan kerana ia menggambarkan seolah-olah tidak menyokong usaha kerajaan untuk meramaikan rakyat tempatan untuk bekerja berbanding pekerja asing. Oleh itu beliau berkata satu kempen besar-besaran akan dilakukan kementerian bari merekrut pekerja tempatan untuk bekerja di ladang-ladang.
“Alasan yang kita (Teresa Kok) berikan bahawa mereka tidak minat ini persoalan subjektif yang memerlukan kempen. Bagi saya, saya sangat optimis, kita boleh gerakkan perkara ini. Tapi kalau Seputeh, sebagai bekas menteri, bersikap seperti ini, berfikiran negatif terhadap rakyat malaysia ini, patutlah industri sawit tidak maju!”
-Buletin TTKM.