“Angka dalam ucapan PM salah” – Anthony Loke

Oleh : Anthony Loke

Ucapan YAB Perdana Menteri kepada seluruh negara melalui televisyen merupakan satu ucapan yang serius. Fakta dan angka yang diungkapkan mestilah tepat dan tidak mengelirukan orang ramai.

Saya memetik perenggan ke-7 ucapan YAB PM petang tadi dan mendapati angka yang diberikan adalah salah.

Pertamanya, jumlah pemandu e-hailing di seluruh negara tidaklah sampai 1.4 juta orang. Jumlah pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan APAD hanyalah dalam lingkungan 120 ribu orang.

Kalau 1.4 juta pemandu dibayar RM500 seorang, jumlah yang diperlukan ialah RM700 juta, bukannya RM34 juta.

Saya rasa angka yang lebih tepat ialah RM34 juta telah dibayar dan kalau dibahagikan dengan RM500, jumlah penerima ialah 68 ribu orang, jauh beza dengan 1.4 juta orang!

Keduanya, kalau betul 477 ribu pemandu pelancong, pemandu teksi dan bas dibayar RM600 seorang, jumlah yang perlu diperuntukkan ialah RM286.2 juta, bukannya RM28.8 juta.

Kalau setakat RM28.8 juta telah dibayar untuk RM600 seorang, jumlah penerima hanyalah 48 ribu orang, BUKAN 477 ribu! Itu perbezaan 10 kali ganda.

Saya tak pasti sama ada pegawai Kementerian Pengangkutan yang memberikan angka yang salah kepada Pejabat Perdana Menteri, namun pegawai-pegawai PMO seharusnya menyemak betul-betul sebelum YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara langsung.

Saya harap PMO akan memperbetulkan fakta tersebut dan tidak mengulangi kesilapan fakta seperti ini.

Teks ucapan rasmi PM dirujuk melalui FB Tan Sri Muhyiddin Yassin:
https://www.facebook.com/112183975526837/posts/3171713842907153/

107914944_10157617280994542_5447763472933331682_n
Kredit FB Anthony Loke 

Penulis merupakan bekas menteri pengangkutan. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM- Editor. 

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.