TEKS PENUH PM : PENGUMUMAN LANJUTAN MORATORIUM & BANTUAN BANK BERSASAR

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI
PENGUMUMAN LANJUTAN MORATORIUM
& BANTUAN BANK BERSASAR
29 JULAI 2020
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal afiat.
1. Hari ini saya ingin membuat satu pengumuman penting berhubung bantuan
penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bayaran pinjaman. Ini
adalah antara langkah yang diambil oleh kerajaan di bawah Pelan Rangsangan
Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang bertujuan untuk melindungi rakyat,
menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
2. Secara khususnya, moratorium bayaran pinjaman adalah untuk mengurangkan
beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan
khususnya pada fasa-fasa awal dan pertengahan pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan atau PKP.
3. Alhamdulillah, sejak berkuatkuasa pada 1 April yang lalu, moratorium bayaran
pinjaman telah sedikit sebanyak membantu rakyat dan perniagaan ekoran
terhentinya hampir kesemua aktiviti ekonomi dalam usaha memerangi penularan
wabak COVID-19. Menurut data daripada Bank Negara Malaysia, sehingga 20 Julai
2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam
telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai
RM38.3 bilion. Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan
sederhana atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima
manfaat daripada moratorium ini dengan nilai RM20.7 bilion.
4. Sejak pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei yang lalu dan
kemudiannya dalam tempoh PKP Pemulihan, aktiviti ekonomi di seluruh negara
dilihat semakin rancak. Kini, ada individu dan perniagaan yang mampu membayar
semula pinjaman mereka. Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran
ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat
daripada 331,000 peminjam pada bulan April, kepada 601,000 peminjam pada
bulan Julai 2020. Manakala, untuk tempoh yang sama, jumlah peminjam PKS yang
memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000
kepada 13,000 peminjam.
5. Walau bagaimanapun, saya sedar masih ada sektor-sektor ekonomi yang
menghadapi keadaan yang sukar dan tidak menentu. Saya faham, ada perniagaan
yang belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada dalam kalangan saudara dan
saudari yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.
6. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari berkenaan moratorium bayaran
pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini. Saya juga tahu ramai yang
berharap agar moratorium ini dilanjutkan.
7. Oleh itu, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank
Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh
sebahagian daripada saudara-saudari yang masih memerlukan bantuan selepas
tempoh moratorium berakhir. Jadi, pada hari ini saya dengan sukacitanya ingin
mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk
melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih
berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan iaitu:
Pertama, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan
masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati
moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan. Selepas 3 bulan, tempoh
moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi
individu masing-masing; dan
Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau
berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan
selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.
Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran
ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan
pengurangan gaji. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6
bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa
individu berkenaan.
8. Di samping itu, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua
peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja
sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19. Bergantung kepada situasi peminjampeminjam,
bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk:
• Membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau
• Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan
pembayaran balik bulanan; atau
• Memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan
kewangan yang lebih stabil.
9. Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan
penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.
Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan
yang lebih rendah.
10. Langkah-langkah ini dijangka akan memanfaatkan 3 juta individu dan
PKS. Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah
memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya.
Justeru, peminjam yang layak bolehlah menghubungi bank masing-masing untuk
membuat permohonan mulai 7 Ogos 2020.

11. Saya berharap Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini
akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah
ekonomi akibat pandemik COVID-19. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini
dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong
kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula
ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.
12. Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee,
Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas
lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula
ekonomi negara kita. Saya cuma nak berpesan jaga kesihatan, jaga diri baik-baik.
Virus COVID-19 masih ada di luar sana. Jadi, demi kebaikan anda dan kita semua,
sentiasalah amalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka di tempat awam, elak
tempat yang sempit dan sesak, dan jangan rasa kekok untuk amalkan normal
baharu dalam kehidupan kita. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua
dihindari daripada jangkitan virus COVID-19.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.