Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang rendah berhubung insiden menconteng mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam telah menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti suspek.
Berikutan itu, POLIS akan menggunakan khidmat profesional bagi mengenal pasti suspek yang dirakam, lapor Bernama.
Tambahnya, kes itu masih dalam siasatan, dan ia mengambil masa yang agak lama kerana rakaman CCTV di kawasan itu tidak banyak, selain keadaan persekitaran semasa insiden itu yang gelap.
“Bila kita zoom (rakaman CCTV), gambar tu pecah, jadi kita akan hantar (rakaman) kepada pihak profesional untuk mendapatkan imej yang lebih jelas,” – Noor Azam Jamaludin
Pada 20 Julai lepas, satu rakaman CCTV yang memaparkan kelibat dua wanita dipercayai suspek menconteng mural berkenaan, menjadi tular di media sosial.
Susulan perbuatan vandalisme itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam mengambil tindakan memadamkan semua mural dengan mengecat semula dinding itu. – Buletin TTKM-