Kes Banglo Guan Eng: “SPRM boleh buka semula kes jika ada bukti baru” – Menteri

Kuala Lumpur, 5 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk membuka semula siasatan berhubung pembelian banglo bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng jika terdapat bukti baru.

Dalam jawapan bertulis parlimen, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata tidak ada halangan bagi SPRM untuk melakukannya kerana ia adalah badan penguatkuasaan yang bebas, lapor Malaysiakini.

“SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence (bukti baru) di dalam kes tersebut,” – Takiyuddin Hassan

Beliau berkata demikian sebagai sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Takiyuddin berkata, peguam negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas pada awalnya telah memohon ke mahkamah untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes berkenaan.

“DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.

“Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam

negara terdapat petunjuk baru, mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.

“Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah,” – Takiyuddin Hassan

Ahli parlimen PAS itu bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk membuka semula siasatan kes rasuah yang melibatkan setiausaha agung DAP itu.

Lim Guan Eng sebelum ini dituduh dengan dua tuduhan iaitu meminta sogokan atas pertukaran tanah dari status pertanian menjadi kediaman, dan  membeli  banglo dengan harga di bawah pasaran.

Selain itu, Lim juga dipanggil oleh SPRM untuk beri keterangan berkaitan dengan projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang dimulakan ketika beliau merupakan ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau hadir ke pejabat SPRM di Putrajaya sebanyak tiga kali untuk tujuan itu.

Setakat ini, SPRM telah menahan seorang pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan menyerbu tiga syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta beberapa EXCO dan bekas EXCO kerajaan negeri dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengaitkan siasatan dengan pengubahan wang haram.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017. -Buletin TTKM-

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version