Guan Eng didakwa minta suapan 10 peratus keuntungan projek terowong

Kuala Lumpur, 7 Ogos. BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, merangkap setiausaha agung DAP itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Menurut pertuduhan, Lim Guan Eng ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Jumlah itu adalah sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Sementara itu, isteri Lim Guan Eng, Betty Chew menaikkan status di facebooknya dengan berkata “Tuhan sedang memerhati” sambil menyertakan gambar hitam.

betty

Hantaran itu mendapat ratusan komen troll dari netizen. Antaranya ada yang bertanya adakah warna gelap tersebut adalah kerana lampu tidak dipasang di dalam terowong.

Hantaran itu kini didapati tidak dapat diakses dipercayai dipadam oleh Betty.

Guan Eng berdepan dengan dua lagi pertuduhan yang akan dibacakan di mahkamah sesyen Pulau Pinang pada Isnin dan Selasa depan- Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.