Guan Eng didakwa terima suapan RM3.3 juta

Gambar The Herald Review.

Butterworth, 8 Ogos: BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang su@pan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng , 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid, lapor Berita Harian.

Menurut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kes@lahan terbabit di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan R@suah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib, manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Jumaat lalu, Lim turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Guan Eng tidak mengaku salah terhadap dakwaan tersebut dan menyifatkan ia adalah tuduhan bersifat politik.

Satu lagi pertuduhan dijadualkan akan dibacakan terhadap beliau pada esok di mahkamah yang sama.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu dirancang akan menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023 setelah tertangguh beberapa tahun.

-Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.