Lindungi perniagaan tanpa lesen dan kutip rasuah : Tiga penguatkuasa MBSA ditahan SPRM

Putrajaya, 11 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Cawangan Sungai Buloh kerana dipercayai mengutip dan menerima r@suah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar Sg Buluh.

Menurut sumber Sinar Harian, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9 pagi tadi tiga pegawai penguatkuasa berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, ketika dipanggil memberi keterangan. Dua penguatkuasa dari Cawangan Sg. buluh dan seorang daripada MBSA Shah Alam.

SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut. Menurut sumber, peniaga ini telah beroperasi sejak tahun 2019. Beliau dikatakan membayar wang r@suah sebanyak RM300.00 sebulan kepada penguatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Tangkapan ini susulan pendedahan yang tular tiga klip video di laman facebook Hot Burger Malaysia yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan tanpa lesen yang menjalankan haram termasuk penjualan rokok seludup dan aktiviti perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Tambah sumber, penguatkuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300.00 ke RM3,500.00 sebulan bagi sebuah premis perniagaan. Ini termasuk premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Ada juga yang berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan. Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak ianya kutipan rasuah secara sindiket di kalangan anggota penguatkuasa.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguatkuasa untuk tampil memberikan kerjasama. Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya.

Siasatan dijalankan dibawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Semalam, menteri dalam negeri, Dato Seri Hamzah Zainuddin mengadakan pertemuan dengan Mohd Asri dan berkata akan menyiasat semua pertuduhan yang dilemparkan peniaga burger tersebut dalam video tularnya tiga hari lepas. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.