Lembaga Pengampunan beri nasihat salah pengampunan Anwar – Peguam

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu bahawa Lembaga Pengampunan memberikan nasihat yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam memberikan pengampunan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Harian Metro melaporkan Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif berkata, komposisi Lembaga Pengampunan juga tidak teratur ketika itu, maka nasihat diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada YDPA adalah tidak sah.

“Dalam isu ini, yang salah adalah Lembaga Pengampunan dan bukannya YDPA. Pihak kami mencabar nasihat yang salah diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada YDPA di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” – Mohamed Haniff,

Beliau berkata demikian  ketika berhujah terhadap permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan bagi membatalkan saman dikemukakan Mohd Khairul Azam berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadap presiden PKR itu.

Menurut Mohamed Haniff, pengampunan hanya boleh diberi kepada pesalah bertujuan untuk menamatkan atau menggantung sesuatu hukuman dan bukannya membatalkan sabitan yang diputuskan oleh mahkamah.

“Jika sesuatu sabitan itu dibatalkan, ia bermaksud kita memainkan peranan mahkamah kerana hanya mahkamah yang boleh mendengar (keterangan dan bukti) dan mahkamah juga yang boleh membuat keputusan,” – Mohamed Haniff,

Peguam J Leela yang mewakili Anwar pula berhujah bahawa pengampunan penuh yang diberikan oleh YDPA tidak boleh dicabar di mahkamah dan plaintif (Mohd Khairul Azam) juga tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman berkenaan.

“Tuntutan saman plaintif adalah remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” – J Leela

J Leela turut memaklumkan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh membatalkan sabitan yang diputuskan oleh mahkamah.

Manakala Peguam Kanan Persekutuan, Natra Idris berkata, pihaknya juga bersetuju dengan peguam Leela bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan membolehkan YDPA mengeluarkan perintah pengampunan untuk sabitan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudiannya menetapkan 21 September untuk keputusan permohonan itu dan mengarahkan kesemua pihak terbabit memfailkan hujahan lanjut, sekiranya ada sebelum atau pada 21 Ogos.

Pada 26 Februari lalu, Mohd Khairul Azam atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

Mengikut penyataan tuntutan, Mohd Khairul Azam berkata, pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan dilaksanakan bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa YDPA bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal.

Buletin TTKM difahamkan bahawa ketika pengampunan itu berlaku, beberapa ahlinya didapati berlaku kekosongan. Ini kerana Peguam Negara ketika era kerajaan barisan Nasonal iaitu  Tan Sri Apandi Ali telah diarahkan untuk bercuti serta merta. Manakala peguam negara yang baharu, Tommy Thomas hanya mengangkat sumpah pada 5 Jun 2018.  Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan pula  belum lagi diisi setelah BN tewas pada PRU 14 dan Khalid Samad hanya mengangkat sumpah pada 2 Julai 2018.

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42(5), dibaca secara bersama dengan Perkara 42(11) itu haruslah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. -Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.