Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menggesa semua pihak untuk lebih berwaspada setelah varian virus yang menyebabkan Covid-19 – yang amat mudah berjangkit – telah dikesan di dua kluster di Malaysia.
Kata beliau, varian virus covid-19 dengan mutasi jenis D614G itu dikesan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dalam sampel yang diambil daripada tiga kes berkaitan kluster Sivagangga, dan satu kes berkaitan kluster Bukit Tiram,
Tambahnya lagi, setakat ini kedua-dua kluster tersebut didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan
“Pun begitu, ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus COVID-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia. Ianya didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’.”
Menurut beliau, mutasi D614G ini ditemui oleh saintis pada Julai 2020 dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi ini.
“Oleh itu, tindakan utama kita adalah masih dengan kaedah menggunakan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya SOP yang ditetapkan iaitu, penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.”
Walau bagaimanapun, beliau berkta situasi terkini COVID-19 didapati masih terkawal dan KKM serta agensi-agensi lain masih berusaha membendung penularan COVID-19.
“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan COVID-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun.”
-Buletin TTKM-