“Banyak perniagaan di sana dijalankan masyarakat cina” – Julian Tan, AJK DAP Sarawak.

Kuching, 21 Ogos: Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak, Julian Tan Kok Ping berkata tindakan DAPSY Sarawak menampal pelekat tulisan cina pada tiga  papan tanda milik Majlis Bandaraya Kuching Utara adalah kerana terdapat banyak perniagaan di lokasi tersebut dijalankan oleh masyarakat cina.

Free Malaysia Today memetik beliau sebagai berkata papan tanda jalan dalam dwi bahasa juga adalah sebahagian dari budaya Sarawak apatah lagi lokasi tersebut merupakan tumpuan pelancong.

“Kita memilih untuk mengembalikan tulisan cina untuk papan tanda jalan di Jalan Main Bazar, Wayang Street dan Jalan Green Hill kerana terdapat banyak perniagaan di sana dijalankan oleh masyarakat cina.

Terutamanya untuk Jalan Main Bazaar, yang merupakan tumpuan utama pelancong dengan tokong cina tertua di Kuching terletak di sana. ”  – Julian Tan Kok Ping

Kata bekas ahli parlimen DAP Stampin itu, pada masa lalu memang terdapat papan tanda dwi bahasa di tempat tersebut tetapi ia telah diturunkan.

“Tulisan (cina di papan tanda jalan) itu diturunkan tanpa kita menyedarinya. Kerana itulah kita cuba mengembalikannya” – Julian Tan Kok Ping

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sberkata perbuatan pemuda DAP itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“DAP tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam (memenuhi kehendak agenda) politik mereka. Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan (tanpa mengambil kira sensitiviti di antara kaum seperti) di Semenanjung Malaysia,” 

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Gambar oleh Dayak Daily.

Menurut Dr Abdul Rahman, tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan itu.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan tindakan DAPSY Sarawak ini sebagai sengaja untuk mengeksploitasikan isu bahasa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Katanya, Pemuda PBB yakin semua rakyat di Sarawak yang terdiri dari pelbagai latar belakang kaum dan agama menyayangi bahasa dan budaya masing-masing tetapi pada masa yang sama perlu bersikap realistik dalam mempertahankan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.

“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan,”

Pada perkembangan yang sama, setiausaha publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim mendesak pemuda DAP Sarawak, DAPSY supaya meminta maaf berhubung tindakan mereka menampal pelekat tulisan cina pada papan tanda jalan tanpa mendapatkan kebenaran majlis perbandaran itu.

“Sebaiknya pemuda DAPSY Sarawak meminta maaf atas tindakan mereka.” – Marina Ibrahim

Tambahnya, tindakan mereka itu bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai vandalisme, tetapi telah mencetuskan salah faham dikalangan pelbagai rakyat Malaysia.

“Kena faham bahawasanya bahasa melayu adalah bahasa kebangsaan iaini bahasa RASMI. Untuk apa risau akan pelancong? Salah satu tujuan melancong adalah memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan. Pastinya mereka boleh membaca dan dalam masa sama fahami bahasa kebangsaan sesebuah negara yang unik dan berbeza di setiap negara.”- Marina Ibrahim

Tindakan pemuda DAP Sarawak itu dilihat pengkritik sebagai usaha parti politik tersebut untuk mengekal dan menambahkan sokongan di kalangan pengundi berbangsa Cina pada pilihanraya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa. – Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version