KUCHING, 21 Ogos – Tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa buah papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini boleh dianggap sebagai perbuatan tidak peka dengan sentimen masyarakat majmuk di negeri ini.
Bernama memetik Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sebagai berkata perbuatan ini juga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.
“DAP tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam (memenuhi kehendak agenda) politik mereka. Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan (tanpa mengambil kira sensitiviti di antara kaum seperti) di Semenanjung Malaysia,”

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan telah mengundang pelbagai komen daripada netizen.
Menurut Dr Abdul Rahman, tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan tindakan DAPSY Sarawak ini sebagai sengaja untuk mengeksploitasikan isu bahasa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Katanya, Pemuda PBB yakin semua rakyat di Sarawak yang terdiri dari pelbagai latar belakang kaum dan agama menyayangi bahasa dan budaya masing-masing tetapi pada masa yang sama perlu bersikap realistik dalam mempertahankan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.
“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan,”
Pada perkembangan yang sama, setiausaha publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim mendesak pemuda DAP Sarawak, DAPSY supaya meminta maaf berhubung tindakan mereka menampal pelekat tulisan cina pada papan tanda jalan tanpa mendapatkan kebenaran majlis perbandaran itu.
“Sebaiknya pemuda DAPSY Sarawak meminta maaf atas tindakan mereka.” – Marina Ibrahim
Tambahnya, tindakan mereka itu bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai vandalisme, tetapi telah mencetuskan salah faham dikalangan pelbagai rakyat Malaysia.
“Kena faham bahawasanya bahasa melayu adalah bahasa kebangsaan iaini bahasa RASMI. Untuk apa risau akan pelancong? Salah satu tujuan melancong adalah memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan. Pastinya mereka boleh membaca dan dalam masa sama fahami bahasa kebangsaan sesebuah negara yang unik dan berbeza di setiap negara.”- Marina Ibrahim
Tindakan pemuda DAP ini dilihat pengkritik sebagai usaha parti politik tersebut untuk mengekal dan menambahkan sokongan di kalangan pengundi berbangsa Cina pada pilihanraya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa. – Buletin TTKM-