PMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki.
Malaysia kini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Khairuddin tidak terkecuali melalui proses undang-undang walaupun dia merupakan seorang menteri.
“Serah kepada pihak berautoriti, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jika ada laporan polis yang kena siasat.
“Proses undang-undang biasalah walaupun seorang menteri,”
Walaubagaimanapun, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu menegaskan, Khairuddin tidak bersalah sehingga diputuskan oleh mahkamah.
“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, kalau mahkamah hukum dia bersalah, bersalahlah. Tak kira rakyat atau pemimpin,”
Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
The Star semalam melaporkan Khairuddin yang juga ahli parlimen PAS Kuala Nerus itu berkata beliau telah membuat ujian Covid-19 sebanyak tiga kali, iaitu ketika tiba dari Turki, 13 hari kemudian dan baru-baru ini sebelum hadir ke satu acara di Istana Negara.
Terdahulu Khairuddin berkata beliau menunggu kenyataan dari kementerian kesihatan sebelum membuat sebarang komen.
Setakat hari ini, Kementerian kesihatan masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.
Kerajaan menetapkan SOP kuarantin 14 hari bagi mereka yang baru pulang dari luar negara.
Sebelum ini, seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri selepas didapati makan di satu restoran dengan memakai gelang kuarantin.
Manakala, seorang pemilik restoran yang dikaitkan dengan kluster Sivaganga pula dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana melanggar syarat kuarantin di rumah. -Buletin TTKM-