Dewan Rakyat, 24 Ogos: Sesi parlimen hari ini kecoh apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan bahawa sejumlah 101 projek rundingan terus dengan nilai perolehan RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang lalu.
“Semasa pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh kementerian kewangan,” – Tengku Zafrul
Berikutan itu, beberapa anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan bersuara dan menuntut supaya menteri berkenaan untuk meyenaraikan semua projek berkenaan selain meminta mengulang semula jumlah nilai yang disebut
Abdul Azeez (Baling-BN) : RM6 bilion? Astaghfirullahalazim..
Noh Omar (Tanjung Karang-BN) : Banyaknya RM6 bilion, 100 lebih projek? Temberang betul PH.
Amin Ahmad (Kangar-PH) : Minta beri senarai dan penerimanya nanti.
Ahmad Maslan (Pontian-BN) : YB menteri saya tak berapa dengar, berapa projek tadi? Tak berapa dengar yang rundingan terus masa zaman PH. RM6.6 bilion berapa projek menteri? Tak berapa dengar saya, minta maaf.
Tajuddin (Pasir Salak-BN): Terkujut (terkejut) kami.
Abdul Azeez (Baling-BN): Direct-nego tu RM6.6 bilion kami nak senarai, dibentangkan kepada kami semua.
Tengku Zafrul kemudian mengulangi ucapan beliau disambut dengan sorakan oleh ahli parlimen PN seperti “Hebat Bagan!”, “Bagan Hero!”, “First class!”
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (PH – Bagan) setelah itu bangun dan berkata bahawa beliau terbuka sekiranya Tengku Zafrul memberitahu senarai penerima tender-tender itu.
“Saya terbuka sekiranya YB (menteri kewangan) nak berikan senarai itu tender-tender yang diberikan bukan secara tender terbuka. Kalau kita lihat jumlah yang diberikan secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang saya sebutkan tadi.”
Lim Guan Eng turut mendakwa perkara tersebut telah diluluskan oleh kabinet dan mengikuti peraturan sedia ada sambil berkata tiada apa yang hendak disembunyikan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) kemudian bangun mempertahankan Lim Guan Eng dan bersetuju supaya senarai tersebut diumumkan.
Anwar (Port Dickson-PH) : Saya setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan sama ada semasa PH atau semasa PN
Abdul Azeez (Baling-BN): Kita nak tau (senarai) PH sebab PH tuduh kami pencuri kami semua perompak! Jadi kami nak zaman Pakatan Harapan tu dahulu
Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) : Saya bukan menteri. Menteri di depan saya (Tengku Zafrul). Menteri PN di depan saya. Biar dia jawab. Kenapa saya nak kena jawab? Saya tanya minta penjelasan.
Pada ketika itu, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Mohamed Azmin Ali pula mencelah, menafikan dakwaan Lim Guan Eng.
“Ni perkara yang dibangkitkan oleh Port Dickson (Anwar) yang mengatakan kita menteri-menteri sepatutnya menjawab. Kita ada menteri kewangan memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya RM6 bilion dan tidak betul YB Bagan (Lim) kata kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarai projek!” – Azmin Ali.
Kenyataan Azmin itu menyebabkan ahli parlimen PH pula berteriak.
Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) : Oi Gombak, masa tu awak bukan PH ke?
Lim Guan Eng (Bagan-PH): You are a liar! Kita bentang kabinet!
Janji #23 manifesto Pakatan Harapan menetapkan supaya “akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projekprojek besar.”
Pada oktober 2018, Lim Guan Eng yang ketika itu menteri kewangan mengumumkan tiada lagi projek rundingan terus membabitkan projek Kerjasama Awam Swasta. – Buletin TTKM-