Berhibur di pub lebih masa: Anak VIP sah dikenakan tindakan polis.

Kuala Lumpur, 26 Ogos: Polis di Raja Malaysia Kuala Lumpur hari ini  mengesahkan  seorang anak VIP yang telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikompaun sebanyak RM1000, kerana menghadiri pub melebihi had masa yang dibenarkan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman facebook Polis KL, Ketua Polis KL, DATUK SERI HJ. MAZLAN BIN LAZIM menegaskan  tindakan yang sewajarnya telah diambil terhadap anak VIP tersebut.

“Polis Kuala Lumpur menegaskan tidak mengamalkan double standard dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuklah anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP dan mereka telah dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.”

Anak VIP terbabit bersama 34 individu  pengunjung satu pub hiburan di Jalan RAhim Kajai 14, TTDI telah ditahan oleh pihak polis dalam satu serbuan pada 22 Ogos jam 1.20 pagi.

“Hasil pemeriksaan, pihak Polis telah menahan:

  • Seorang lelaki India berumur 37 tahun dipercayai merupakan Pengurus Premis,
  • Seorang  lelaki warganegara Bangladesh dan
  • Tiga wanita warganegara Filipina yang disyaki merupakan pekerja di premis berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati premis tersebut dibuka tanpa lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang. “

Selain itu, pihak Polis turut menahan (20) lelaki dan (9) wanita warganegara Malaysia yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh PKPP.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warganegara asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(no.7) 2020.
Keempat-empat suspek warganegara asing yang berumur dalam lingkungan 33 hingga 52 tahun ditahan reman selama 14 hari bermula pada 22 Ogos 2020 sehingga 4 Sep 2020 bagi siasatan lanjut.

Manakala, (29) orang warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1000.00 setiap seorang.

Terdahulu,  tular berita di media sosial yang mendakwa anak VIP berkenaan   terlepas daripada dakwaan PKPP.

Malaysia Gazzete melaporkan anak kepada VIP itu dikatakan mabuk semasa ditahan sepasukan anggota polis sekitar jam 1.20 pagi sebelum di bawa ke balai polis berhampiran.- Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.