Mukhriz sahkan anak dan menantu ditahan polis di pub, langgar PKPP

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mengesahkan anak perempuan dan menantunya ditahan polis dalam serbuan di sebuah pub dekat Jalan Rahim Kajai 14, TTDI  pada 22 Ogos jam 1.20 pagi kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Bercakap kepada media, bekas timbalan presiden Bersatu itu juga  berkata beliau kecewa kerana kedua-duanya telah melanggar PKPP dan mereka wajar didenda maksimum sebanyak RM1,000.

“Anak dan menantu saya telah dibawa ke balai bersama dengan 27 orang yang lain di atas kesalahan melanggar curfew PKPP , dan mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM KL mengikut undang-undang yang berkaitan mereka smeua dikenakan kompaun RM1000 dan semua sudah bayar termasuk anak dan menantu saya” 

“Saya dah pesan dah kepada kaum keluarga saya, musim PKPP ni, janganlah langgar, kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik.

“Memanglah saya rasa kecewa kerana pelanggaran tetap berlaku, jadi kita dah beri teguran. Memang patutlah mereka kena kompaun,”

Beliau berkata demikan kepada wartawan di Felda Besout di Perak hari ini untuk berkempen bagi calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada pilihan raya kecil Slim.

Hari membuang undi  bagi PRK berkenaan adalah  pada sabtu ini, 29 Ogos.

Pada perkembangan yang sama, Mukhriz  mengucapkan terima kasih kepada polis Kuala Lumpur kerana mengambil tindakan tegas dan adil terhadap anak perempuannya, menantunya dan 27 individu yang lain.

“Kalau hari tu, dia bagi diskaun, silap-silap saya dan Tun dituduh mencampuri urusan polis, dan dituduh beri keistimewaaan kepada anak dan menantu.

“Dan selain mengurangkan kompaun, kita bersyukur tak dinaikkan kompaun, nanti jadi penganiayaan pula kepada mereka berdua,” 

Beliau juga berkata tidak akan melayan kenyataan pihak lain di luar kenyataan rasmi PDRM.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak lain yang tidak berkenaan di luar daripada kenyataan rasmi PDRM saya tak layan kerana kita tahulah tiga campur empat boleh jadi dua belas.”

Beliau berkata demikian susulan terdapat laporan media yang mendakwa anaknya berada dalam keadaan mabuk ketika ditahan polis pada jam 1.20 pagi itu.   -Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.