KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Polis merekod keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Bukit Aman, malam tadi, kira-kira 3 jam berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, Julai lepas.
Sinar Harian memetik Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid sebagai berkata, keterangan menteri terbabit dirakam bersama beberapa saksi lain.
“Proses merekod keterangan bermula jam 8.30 malam sebelum beliau (Mohd Khairuddin) keluar kira-kira jam 11.30 malam dari Bukit Aman.
“Selain Mohd Khairuddin, beberapa saksi lain turut direkod keterangan,”
Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan dipanggil ke Bukit Aman, petang kelmarin sebelum lokasi itu ditukar ke Parlimen.
Walaubagaimanapun, proses berkenaan itu ditangguhkan sehingga malam tadi.
Untuk rekod, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki.
Selepas mendapat kritikan hebat dari masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.
Pada Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian setiap rakyat Malaysia adalah di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.
“Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan pelanggaran perintah kuarantin itu. Setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tidak ada sesiapa yang terkecuali.
“Sehubungan itu, saya menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,”
-Buletin TTKM-