KUALA LUMPUR: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah, pada 2013 sebagai sandiwara negara.
Malah tuduhan tidak benar dan tidak berasas bahawa ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing dianggap memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain yang mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang, berkata beliau dan pasukan ATM amat terkesan dengan kenyataan ahli politik terbabit yang juga merupakan ahli parlimen Warisan Lahad Datuyang menyatakan insiden berkenaan sebagai suatu sandiwara.
“Ini adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Adalah ditegaskan bahawa ATM memainkan peranan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,”
Tan Sri Affendi Buang
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammadin Ketapi yang juga calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, dalam satu video ucapan yang tular dalam laman sosial mendakwa tragedi di Kampung Tanduo hanyalah peperangan bersama ayam dan anjing.
Dia juga mendakwa pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan ke Lahad Datu sedangkan peperangan tidak berlaku dan merupakan sandiwara.
Bagaimanapun selepas menerima kecaman, Mohammadin kemudian tampil meminta maaf dan mendakwa video yang disebarkan adalah berniat jahat dan tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya. – Buletin TTKM-