Warisan kalah undi tentera- laporan.

Kota Kinabalu, 22 Sept: Parti Warisan Sabah dilaporkan kehilangan 90% dari 16, 877 undi awal di negeri itu menurut laporan The Malay Mail.

Ini berikutan calonnya untuk DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang berkata pencerobohan Lahad Datu pada 2013 cuma sandiwara di mana pihak keselamatan berperang dengan ayam dan anjing.

Sebelum ini, pencabar terdekat Warisan, iaitu Perikatan Nasional dan Barisan Nasional menjangkakan Warisan akan mendapat 60% undi tentera.

Mohamaddin Ketapi yang juga merupakan ahli majlis tertinggi Warisan memohon maaf semalam tetapi anggota keselamatan masih terguris dengan kenyataan tersebut.

Panglima Angkatan Tentera semalam menyifatkan kenyataan ahli politik itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

“Ini adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Adalah ditegaskan bahawa ATM memainkan peranan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman,”

Hari ini, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memohon maaf bagi pihak Mohamaddin Ketapi.

Petang tadi, sekali lagi Mohamaddin Ketapi memohon maaf di laman facebooknya berhubung isu tersebut tetapi ruang komennya masih diserang oleh warga net.

Sementara itu, satu hantaran oleh seorang pengundi awal di Sabah, Mujahidin Hj Sawaijaan menjadi tular di media sosial

Jari ini pernah menekan picu m16 d tanduo dan jari ini juga yg memangkah parti mana yang menghargai nilai sebuah keamanan dan pengorbanan anggota keselamatan#Abgadik#pdrmatm#masatembakayamdananjing

Mujahidin Hj Sawaijaan

Hantaran itu setakat ini mendapat 4700 perkongsian dan 8700 tanda suka.

Pagi tadi sebanyak 55 pusat pengundian dibuka bagi pengundi awal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Seramai 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis bersama pasangan masing-masing layak mengundi. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.