KENYATAAN MEDIA
Kuala Lumpur, 23 September, 2020 – Adalah dimaklumkan bahawa majlis menghadap Presiden PKR YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada hari Selasa (22 September, 2020) telah ditangguhkan ekoran kegeringan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, YABhg. Tun Daim Zainuddin, para Jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19.
Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.
Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara