Kuala Lumpur, 23 September: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah mendapatkan sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk dipersembahkan kepada Agong.
Dalam satu sidang media yang diadakan sebentar tadi, beliau berkata kelmarin beliau telah diperkenankan untuk mengadap YDP Agong, tetapi ia ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah jatuh. Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Agong dalam masa terdekat”
Anwar Ibrahim
Tambahnya, pentadbiran kerajaan baru beliau itu mewakili semua rakyat, majoriti melayu bumiputra dan mewakili semua rakyat sambil memohon rakyat bersabar dan mendoakan kesembuhan YDP Agong.
Walaubagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah kerusi yang beliau peroleh kerana perkara itu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Agong.
Ditanya wartawan adakah beliau akan mengadakan pilihanraya selepas berjaya membentuk kerajaan, beliau berkata dengan jumlah majoriti yang kukuh, perkara itu bukan pilihannya buat masa ini.
Beliau juga berkata terdapat ahli parlimen dari Barisan Nasional menyertai beliau dan satu pakatan baharu akan diumumkan kemudian sambil menafikan kerajaan baharu adalah kerajaan pintu belakang -Buletin TTKM-
Video ehsan Buletin Utama: