PUTRAJAYA – Semua parti-parti yang bekerjasama dalam Kerajaan Perikatan nasional (PN) kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat termasuk dari PN.
Menurut satu kenyataan yang ditandatangani oleh semua setiausaha parti dalam PN itu, dakwaan Anwar tidak lebih hanya satu publisiti murahan dan sikap rakus dan gila kuasa beliau.
“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini. Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19,”
– Kenyataan PN.
Sehubungan itu, gabungan tersebut yakin rakyat akan bangkit menolak politik yang dilakukan oleh Anwar, malah akan bersama-sama menyokong Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.
Dalam satu sidang media yang diadakan tengah hari tadi, presiden PKR berkata kelmarin beliau telah diperkenankan untuk mengadap YDP Agong, tetapi ia ditangguhkan kerana baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
“Dengan sokongan, majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah jatuh. Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Agong dalam masa terdekat”
Anwar Ibrahim
Tambahnya, pentadbiran kerajaan baru beliau itu mewakili semua rakyat, majoriti melayu bumiputra dan mewakili semua rakyat sambil memohon rakyat bersabar dan mendoakan kesembuhan YDP Agong.
Walaubagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah kerusi yang beliau peroleh kerana perkara itu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada Agong.
Ditanya wartawan adakah beliau akan mengadakan pilihanraya selepas berjaya membentuk kerajaan, beliau berkata dengan jumlah majoriti yang kukuh, perkara itu bukan pilihannya buat masa ini.
Beliau juga berkata terdapat ahli parlimen dari Barisan Nasional menyertai beliau dan satu pakatan baharu akan diumumkan kemudian sambil menafikan kerajaan baharu adalah kerajaan pintu belakang -Buletin TTKM-