Kenyataan Wan Fayshal dimanipulasi: Tak sentuh UMNO/BN, bersifat umum- Ketua Penerangan Armada Nasional

JANGAN TERPERANGKAP DAKYAH PERPECAHAN DAN SALAH TAFSIR KENYATAAN KETUA ARMADA NASIONAL

Apabila kita ‘berbai’ah’ untuk bekerjasama dalam satu gabungan, adalah menjadi harapan rakyat dan negara agar gabungan baharu ini dapat mengatasi dan memperbaiki kelemahan serta kerosakan yang telah ditinggalkan oleh kerajaan lalu. Kehadiran kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ibarat penyelamat di waktu-waktu yang sukar tatkala negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa akibat daripada wabak Covid-19.

Ini dibuktikan berdasar kajian oleh Merdeka Center yang menunjukkan bahawa 58% rakyat Malaysia amat gembira dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional. Hasil dapatan daripada Merdeka Center juga mendapati 93% orang Melayu amat gembira dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebegitu peningkatan di kalangan kaum-kaum lain iaitu 65% untuk kaum India & 33% bagi kaum Cina.

Malah 93% sangat gembira dengan kecekapan kerajaan menangani wabak Covid-19. Ini menunjukkan formula gabungan Perikatan Nasional (PN) & Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah meraih kerusi yang lebih banyak dari sekarang sekiranya Pilihanraya Umum Ke-15 diadakan mengambil kira faktor sambutan baik rakyat terhadap kerajaan.

Dalam kita mengemudi satu bahtera yang digeruni musuh ini, sudah tentu banyak yang tidak senang akan kekuatan yang bakal kita jelmakan, malah sudah pun kita buktikan di Sabah. Musuh amat bimbang dan gerun dengan penyatuan ini. Justeru usahlah kita terjerat ke dalam kancah perbalahan sesama kita kerana akibat daripada perbalahan ini, kita akan mengalami kerugian dan mengecewakan banyak pihak terutamanya rakyat yang amat mengharapkan kerjasama penyatuan ini. Usah kecewakan mereka!

Kenyataan Ketua Armada Nasional, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal hanya bersifat umum dan tidak menyentuh mana-mana pihak secara khusus, sama ada UMNO atau pun BN. Tidak sewajarnya ada pihak yang tersinggung, kerana isu legasi dan kes mahkamah yang memangkin perihal ‘trust deficit’ ini juga turut membebani pemimpin-pemimpin parti pembangkang – dari dahulu hingga sekarang! Dan imej kerajaan pasca PRU14 seharusnya menepati citra ‘Good Governance’ yang didambakan rakyat, bukan menepati kehendak elit politik semata dan inilah yang dimaksudkan oleh Ketua ARMADA Nasional sebegitu citra yang digarap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertekad khidmat demi rakyat.

Malah kenyataan Wan Ahmad Fayhsal kelihatan jelas dimanipulasi seakan ada jarum-jarum halus yang menikam kerana tidak mahu melihat muafakat utamanya parti Melayu melalui kerajaan Perikatan Nasional. Amat menyedihkan pada saat dan ketika agenda penyatuan menjadi tunjang utama, ada juga segelintir pemimpin utama UMNO yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris perasaan pihak lain.

Ini tampaknya samada termakan dakyah jarum pemisah atau demi agenda ‘peribadi’ semata tanpa memikirkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia umumnya. Jika dinilai dari kenyataan-kenyataan yang dilemparkan beberapa pemimpin UMNO (saya yakin tidak mencerminkan keseluruhan UMNO), ARMADA malah kepimpinan BERSATU sebegitu utamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin langsung tidak memperbesarkan hal dan kecoh untuk berpolitik sepanjang masa kerana melihat maslahat yang lebih mustahak; demi orang Melayu, rakyat Malaysia dan agenda penyatuan!

Saya percaya perselisihan pendapat ini akan mematangkan malah mengeratkan lagi hubungan antara semua, demi agama, bangsa & negara. Sebegitu hasrat kita mengangkat pemimpin Melayu yang baik nilai dalam menjadi cerminan bangsa yang bertekad setia berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia tidak kira latar.

Adalah penting untuk kita melihat ke hadapan dan terus fokus bekerja demi rakyat yang sudah tentu menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan ini.

Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir,
KETUA PENERANGAN ARMADA BERSATU

30 SEPTEMBER 2020

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.