Memahami Kesilapan Dato’ Dr. Noraini Ahmad
Oleh : Rahman Imuda
Untuk memahami kecelaruan yang dialami mahasiswa pada hari ini akibat pengumuman drastik Noraini, kita perlu kembali melihat isu yang berlaku pada Mac 2020.
PKP bermula pada 18 Mac 2020. Pada 17 Mac, berlaku kecelaruan yang besar di beberapa universiti. Ada universiti yang ‘menghalau’ pelajar mereka pulang ke kampung masing-masing, akibatnya suasana panik berlaku.
Pada hari itu TBS dibanjiri pelajar. Mujurlah tiada kluster yang wujud dari kecelaruan ini. Bagi pelajar yang gagal pulang atau masih keliru dengan arahan; mereka terpaksa tinggal di asrama/rumah sewa.
Semua ini berlaku kerana tiada arahan yang jelas dari KPT kepada institusi pengajian tinggi tentang status pelajar. Akhirnya ada universiti yang panik, dan mengusir pelajar.
Apa yang sepatutnya dilakukan pada waktu itu adalah – meminta semua institusi pengajian tinggi memberi arahan kepada pelajar untuk tinggal di asrama; supaya penghantaran pulang secara berperingkat dapat diaturkan.
Bagi mereka yang bergejala, penempatan khusus perlu disediakan.
Sebenarnya apa yang berlaku pada hari ini adalah kesilapan yang lebih kurang sama dengan apa yang berlaku pada Mac.


Pasukan Noraini tidak menyediakan Plan B dan memberikan universiti melakukan keputusan untuk pendaftaran dan kelas fizikal.
Pasukan Noraini tidak memikirkan apa langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku peningkatan kes yang mendadak; dan ada pelajar yang sudah tiba di universiti.
Larangan secara terus seperti yang dilakukan baru-baru ini memperlihatkan aspek ini tidak dilihat, atau tidak diambil peduli. Akhirnya wujud kumpulan mahasiswa yang terkandas.
Sebelum mengeluarkan arahan, perlu dibincangkan implikasinya secara kritikal.
Apa yang patut dilakukan oleh pasukan Noraini adalah – melakukan pengumuman ini dengan mengatakan mahasiswa yang telah sampai dibenarkan mendaftar ke asrama khusus (kuarantin) dan bagi mereka yang telah membeli tiket, KPT atau universiti akan menggantikan tiket yang telah hangus.
Sekurang-kurangnya hal ini akan memberi kelegaan kepada mahasiswa.
Jika kelas fizikal tidak dapat dilakukan, proses penghantaran berperingkat seperti Mac lepas boleh dilaksanakan sekali lagi.
Kalau difkirkan secara serius, ia adalah hal-hal yang mudah, bukan serumit roket sains. Ia semudah melakukan video Tik Tok.
Mujurlah banyak kumpulan siswa dan ada individu yang sudi menghulurkan bantuan kepada mahasiswa yang terkandas. Jika mengharapkan bantuan KPT, nampaknya siswa-siswa ini akan terbiar begitu sahaja. – Buletin TTKM –
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM. Penulis merupakan Yang Dipertua Ikatan Anak Muda Tawau dan juga aktivis mahasiswa. – Editor