Media Sosial, 4 Oktober: Gambar di laman facebook Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran yang didakwa tidak patuh SOP Covid-19 didapati tidak dapat diakses dipercayai dipadamkan pentadbir laman tersebut sekitar jam 9 malam.
Perkara itu berlaku setelah gambar tersebut tular setelah dikongsikan oleh laman facebook TTKM yang turut mendapat komen kecaman dari warga net.
Album gambar acara tersebut didapati turut hilang dari laman facebook itu.
(Laman sesawang UPSI masih menyimpan gambar tersebut di sini )
Gambar kontroversi yang didakwa tidak mematuhi SOP Covid-19 itu merupakan satu acara di The Straits Hotel and Suites, Melaka yang dianjurkan bersama UPSI dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) pada 28 Ogos-31 Ogos 2020.

Gambar itu kemudiannya dinaikkan di laman facebook Naib Canselor UPSI pada 1 September 2020.
Pada 30 September, Harian Metro melaporkan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran sebagai berkata bahawa pasukan jawatankuasa khas Covid-19 ditubuhkan di UPSI untuk memantau pematuhan SOP di kawasan kampus.
“Semua warga UPSI tidak terkecuali dan berperanan mematuhi SOP dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19. Apa yang penting kami mahu memastikan SOP dipatuhi secara menyeluruh dan tiada toleransi.”
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Terdahulu, pendakwah bebas Ustaz Ebit Liew memohon maaf secara terbuka di laman facebooknya setelah beliau mendakwa diminta berbuat demikian oleh Naib Canselor UPSI tersebut.
“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI terutama vice cancelor Prof Dato sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka. Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya terpaksa tangguhkan 20 bas. Asal saya niat buat semua ini untuk pelajar berdasarkan keluhan saya tanggung dan dengari”
Ustaz Ebit Liew
Pada hantaran itu, beliau turut mengepilkan kenyataan dari Majlis Perwakilan Pelajar yang meminta pendakwah tersebut supaya mematuhi segala proses penghantaran pulang pelajar dengan mengikuti SOP yang ditetapkan.
“Ia perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan Universiti yang secara langsungnya mendapat kebenaran daripada KPT dan MKN” –
MPP UPSI
Pada 2 Oktober, Ustaz Ebit Liew memobilisasi sebuah bas untuk menghantar para pelajar UPSI pulang ke kampung halaman.
Perkara tersebut berlaku setelah para pelajar mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berikutan kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi yang mencadangkan supaya semua proses pendaftaran pelajar dan pengajian di pusat pengajian tinggi dilakukan secara atas talian berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat. -Buletin TTKM-