DIARI WARTAWAN PESAKIT COVID-19

DIARI WARTAWAN PESAKIT COVID

Oleh : Azrul Affandi Sobry

6/10/2020
9am
Ward 5A

PLOT CERITA

  1. 30 meter naik ambulan
  2. Kejutan di tengah malam
  3. Suasana berbeza
  4. Satu wad dengan timbalan menteri
  5. Hikmah di sebalik penyakit

30 METER NAIK AMBULAN


Semalam, dalam jam 615 petang macam tu, nama aku dipanggil bersama 8 lagi pesakit lain. Beratur dan menunggu pintu yang dikunci mangga dibuka. Itu rutin di ward 43 ini. Tak kira siapapun yang datang. Ambulan atau doktor, tetap kena tunggu petugas khas yang memegang kunci mangga gril membukanya. Bukan semua orang boleh buka. Kalau lambat, lamalah menunggu di luar. Memang selalu juga suasana itu menjadi hidangan mata kami. Tiap kali nampak lampu ambulan di luar, pasti semua mata menunggu bila pintu dibuka dan apa seterusnya. Samada ada pesakit baru atau ada nama dipanggil. Kali ini nama aku dipanggil. Mahu dibawa ke unit xray. Mungkin jauh agaknya. Tapi rupanya, masuk je ke ambulan, baru bergerak 30m dah berhenti dan sampai. Dekat sangat ni. Kalau jalan, tak sempat nak menitis peluh pertama. Malah, rasanya ambulan ni hanya sempat masuk gear 2 (kalau manual). Xray pula berjalan pantas. Kami sembilan orang selesai dalam masa tak sampai 15 minit. Tapi respek betul semua selesai dengan mudah dan cukup teratur. Tidak ada satu ruang yang mereka biarkan jadi kelompangan. Jarak dekat pun, tetap naik ambulan.

KEJUTAN DI TENGAH MALAM
Malam tadi aku rasa kuat sikit sebab baru ada kekuatan sedikit nak bersembang. Itupun aku sedar nafas aku lemah. Tapi aku cuba lawan. Aku layan 5 orang rakan secovid bersembang pasal isu politik di Sabah dan macam-macam hal lain lagi. Mereka seronok melayan, aku pula sebagai pencerita, lagilah laju bercerita. Penat berbual lebih sejam sampai tekak kering dan perit, aku kembali ke katil 33. Baru seminit lampu dipadamkan, datang seorang pesakit. Dia tanya nama aku dan beritahu suruh siapkan semua barang. Aku perlu dipindahkan ke wad pemantauan. What!! Terus berdebar. Asalnya tadi aku dah rasa tenang, kali ni debar kuat kembali. Sambil kemas barang, sambil otak berlegar. Aku ada masalah apa ya sampai perlu dipantau. Tapi yang buatkan aku kuat, sorang demi sorang rakan wad tu datang bantu aku kemas, dan bagi kata semangat. Ya.. aku masih kuat…

SUASANA BERBEZA


Aku dibawa ke wad 5A Hospital Sungai Buloh. Sampai di sini, aku tengok semua pasukan bersedia betul. Pengawal keselamatan pun macam di medan perang. Nak naik lif pun siap guna walkie talkie dan bagi amaran ke atas


“Dah masuk lif. Tingkat 5 ready!”
Bukan setakat sembang santai tapi gerak dan reaksi mereka macam di medan perang. Aku sebenarnya kagum tapi ketawa dalam hati. Tapi sebalik ketawa, aku sedar betapa serius mereka tangani masalah C19 ini. Berjalan menuju wad aku dah mula terbayang akan disambut ramai petugas kesihatan lengkap dengan PPE. MELESET sama sekali. Sedikit sebanyak aku dah mula faham.

Penjarakan sosial dan pelitup muka lebih penting. Semua mereka dalam wad ini hanya pakai uniform plastik dan pelitup separuh muka. Tak perlu PPE lengkap pun. Walaupun katil aku betul-betul depan kaunter utama dan jarak aku dengan mereka hanya 6 meter, mereka juga tidak pakai PPE. Hanya pakai PPE jika mahu dekati pesakit dan membuat pemeriksaan. Satu pengalaman dengan kaca mata aku sendiri. Ada hikmah aku masuk ke sini dan rasa semuanya. Dari wad isolasi ke wad pemantauan. Kalau tanya aku, wad mana lagi best, aku pilih wad isolasi. Walaupun di sana macam asrama KEM BINA INSAN, katil rapat-rapat, tak ada privacy, dan walau wad 5A ini lebih kemas, selesa, tandas besar, tapi suasana dalam ward 43 lagi best sebab di sana tak rasa macam ward. Kami bebas keluar ke taman kecil. Bebas duduk bersidai di pantri. Bebas menyembang sesama kami sampai mengantuk. Sharing is caring there. Di ward 5A, aku hanya duduk di katil sendiri memerhati apa yang doktor dan nurse tengah buat di kaunter utama. Baik-baik mereka. Sentiasa melayan seorang makcik, orang Kedah yang suka berbual. Jap, korang tau kan wad ni macamana? Ini asalnya wad pediatrik yang dijadikan wad covid. Satu ruang ada 6 katil. Dalam ruang aku, hanya 4 katil berpenghuni termasuk aku.

SATU WAD DENGAN TIMBALAN MENTERI


Disebabkan aku ni pesakit paling dekat dengan kaunter utama, jadi apa saja perbualan dan catatan di papan putih aku nampak. Sukalah aku baca semua yang tertulis. Pesakit paling muda dalam ward 5A, budak berusia 6 tahun dan paling tua berusia 71 tahun. Budak 6 tahun tu aku rasa masuk satu family sebab mereka berempat dimasukkan dalam satu bilik pertama bersama-sama. Aku belek lagi papan putih dan… mata aku terbeliak baca satu nama di katil XX, Datuk Dr xxxx xxxx xxxx, seorang timbalan menteri pun ada dalam wad ini. Betullah Covid ini tak kira siapa. Kalau VVIP dah kena, ada juga terpaksa masuk wad sama dengan kami. Satu lagi pengajaran yang aku dapat. Satu lagi, separuh daripada 17 pesakit dalam wad ini adalah dari kes Sabah, termasuk timbalan menteri.

HIKMAH DI SEBALIK PENYAKIT
Sebenarnya banyak juga pengajaran dapat dipelajari dan dikongsi tapi aku pilih 2-3 je dulu. Kalau di luar sana, seluruh dunia terpaksa menjarakkan saf untuk solat berjemaah, pesakit covid di ward 43, tidak perlu, malah saf dirapatkan. Solat lebih tenang dan tiada kegusaran. Di luar sana, mahu makan di meja bersama orang lain, risau ada penyakit, di ward 43, kami semua ada penyakit yang sama dan kami tidak rasa rimas atau kurang selesa walaupun duduk semeja dan ada rakan batuk kerana kami tahu, kami juga pesakit sepertinya. Jika ada yang rasa pesakit Covid wajar dijauhi, takpe.. kerana kami ada rakan yang sama senasib dengan kami yang sentiasa melambai rakan yang lain ajak duduk bersama dan berkongsi apa yang ada. Semalam, aku dapat rasa makan kek yang dihantar seseoarang kepada pesakit di sini dengan ucapan, GET WELL SOON!

YES. SAYA NAK SIHAT. – Buletin TTKM –

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.