Surat pembaca oleh : Kamarul Effendi Arifin
- Setiap tahun negara rugi rm6 billion kerana hasil laut dicuri nelayan Vietnam. APMM kekurangan kapal terutamanya kapal induk bagi membanteras pencerobohan nelayan asing.
- Di timur Sabah, kemasukan PATI sukar dibendung. Meskipun aset-aset APMM dan TLDM telah banyak digerakkan ke sana namun ia masih jauh dari mencukupi. PATI yang telah diusir dengan mudah ceroboh kembali, mereka bukan saja membawa masalah jenayah dan sosial malah juga Covid-19. Masalah-masalah ini membawa kerugian ekonomi yang besar kepada negara.
- Di antara 2016 hingga 2019 kapal pengawal pantai China telah menceroboh perairan Sarawak sebanyak 89 kali. Tidakkah kita risau jika suatu hari nanti China berjaya menduduki beting-beting dan terumbu-terumbu karang kita lalu menambak ia menjadi pangkalan tentera. Beberapa beting dan terumbu milik Filipina telah berjaya mereka duduki. Perairan Sarawak yang luas itu adalah sumber kepada hasil petroleum dan hasil laut yang bernilai berbillion ringgit setahun. Sanggupkah kita terlepas kawasan itu hanya kerana kita tidak mahu berbelanja lebih untuk pertahanan?
- Bukan saja China, kita juga ada isu tuntutan perairan bertindih dengan Indonesia di laut Ambalat dan dengan Thailand di perairan Kelantan. Thailand mahu beli dua lagi kapal selam sebagai satu strategi tawar-menawar dengan Malaysia apabila perjanjian pembangunan bersama perairan itu tamat pada 2029. Sementara itu dua kapal selam kita telah ditempatkan di Sabah bagi melindung perairan di sana yang berisiko berlaku konflik lalu meninggalkan perairan semenanjung tanpa kapal selam.
- Alasan tidak mahu berbelanja banyak untuk aset pertahanan kerana mahu mengelak perlumbaan senjata tidak lagi relevan kerana hakikatnya kini Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran dalam jumlah aset tentera udara, tentera laut, dan tentera darat. Bahkan jumlah aset tentera laut Bangladesh juga kini telah mengatasi kita. Untuk membina empat buah kapal frigat memerlukan masa empat tahun, ini tidak termasuk masa yang diperlukan untuk anggota tentera kita menyesuaikan diri dengan kapal itu. Konflik boleh berlaku bila-bila masa, kita perlu bertindak dari sekarang. Visi 2040 APMM dan visi 2040 ATM harus dipercepatkan kepada tahun 2030.
TINGKATKAN BAJET PERTAHANAN KEPADA 2% daripada KDNK NEGARA. Berikan segera apa yang APMM dan ATM mahukan!
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor