Segambut, 8 Oktober: Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan di mana beliau akan mempersembahkan dokumen sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober , Insya-Allah.
Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.
Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing,serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),”
Anwar Ibrahim.
Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.
Beliau turut berkata bahawa kerajaan perikatan nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah tumbang berikutan kehilangan majoriti. – Buletin TTKM-
Kenyataan penuh:
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.
Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, InshaAllah.
Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.
Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
ANWAR IBRAHIM
