Covid-19: 298 sekolah di PJ, Shah Alam, Subang Jaya diarah tutup.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


PENUTUPAN SEKOLAH DI KAWASAN ZON MERAH
DI DAERAH PETALING


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian berhubung peningkatan kes COVID-19 di daerah Petaling. Daerah ini telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Selaras dengan perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM, KPM memaklumkan bahawa semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor, akan ditutup bermula 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020. Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Senarai sekolah yang ditutup di zon merah daerah Petaling dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah. Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di http://www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.


Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk
diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.
Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM http://www.moe.gov.my.


Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.


Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.
-TAMAT –


KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
11 OKTOBER 2020

Senarai sekolah:

KM_KPM_PENUTUPAN-SEKOLAH-DI-KAWASAN-ZON-MERAH-DI-DAERAH-PETALING

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.