Kuala Lumpur, 2 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan penarikan dirinya sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kata bekas menteri pendidikan itu, tindakan tersebut diambil kerana ingin menumpahkan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19) di negara khususnya di kawasan parlimen beliau, Simpang Renggam.
“Usaha dalam gerakan perubahan pendidikan akan diteruskan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas serta menerusi ruang aktivitisme dan kerja-kerja kemanusiaan di bawah rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan aktivis lain. Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan tetapi keinginan dan kesempatan,”
Tambahnya lagi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.
“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. “Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,”
Terdahulu, satu kenyataan media dari parti Pejuang bertarikh 1 November dikeluarkan tanpa meletakkan nama Maszlee. kenyataan itu hanya menyenaraikan nama empat Ahli Parlimen Bebas dari parti tersebut iaitu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Dr Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Pada 17 oktober lalu, satu akuan bersumpah (SD) didakwa ditandatangani Dr Maszlee Malik yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tular di media sosial. – Buletin TTKM-
