Mahathir “EJEN PEROSAK”, “PLAY VICTIM” yang patut DISINGKIR! : Ketua Penerangan AMK Sabah

Kenyataan Media

21 November 2020, Sabtu

MAHATHIR “EJEN PEROSAK” YANG PATUT DISINGKIR, RAKYAT BOSAN/MUAK DENGAN TAKTIK “PLAY VICTIM” BELIAU

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad seperti biasa hari ini terus menuding jari kepada semua pihak terhadap sebarang masalah.

Hari ini sekali lagi beliau menuding jari kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kali ini berkaitan isu kegagalan mengambil alih kerajaan yang dipilih oleh rakyat daripada kerajaan “pintu belakang” Perikatan Nasional.

Umum mengetahui Mahathir juga merupakan dalang utama “Langkah Sheraton” apabila cuba menubuhkan kerajaan “Melayu/Islam” tanpa KEADILAN, DAP dan AMANAH. Ini susulan pendedahan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional termasuk rakaman audio beliau sendiri yang bocor dan tersebar luas. Namun kerana tersalah langkah Muhyiddin berjaya mencantas beliau.

Mahathir memang tidak asing dalam menyalahkan orang lain. Beliau pernah menyalahkan Tunku Abdul Rahman terhadap banyak isu malah pernah cuba menggulingkan Tunku sehingga akhir hayat Tunku tidak lagi bersama UMNO.

Begitu juga Tun Razak, Tun Hussein Onn serta beberapa pimpinan negara termasuk beberapa pemimpin yang beliau sendiri angkat seperti Tun Abdullah dan Najib Razak.

Hari ini beliau masih menyalahkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 terhadap banyak isu walaupun beberapa perkara gagal disebabkan beliau sendiri termasuk tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Dakwaan Mahathir bahawa kegagalan Dato’ Seri Anwar untuk mengambil alih semula kerajaan kerana menolak beliau sangat tidak berasas. Sebenarnya kegagalan ini adalah kerana Mahathir sendiri.

Pakatan Harapan telah bersetuju untuk terus berusaha mengambil semula mandat rakyat dan memilih Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Namun usaha ini tidak dipersetujui Mahathir yang berkeras ingin dipilih sebagai Calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan inginkan sokongan dari kumpulan beliau termasuk WARISAN.

Namun apabila parti komponen Pakatan Harapan tetap dengan pendirian akhirnya Mahathir menggunakan kepakaran beliau iaitu taktik “pecah dan perintah” untuk memecahkan Pakatan Harapan apabila mencadangkan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri yang kita tahu Mahathir tidak ikhlas untuk mengangkat Shafie selain cuba memecahkan sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dari Sabah dan Sarawak.

Saya telah nyatakan sebelum ini bahawa Mahathir tidak ikhlas ingin mengambil semula mandat rakyat kecuali beliau dipilih semula sebagai calon Perdana Menteri yang mana merupakan kali ketiga buat beliau.

Mahathir tidak sedar beliau tidah se ‘gah’ dahulu kerana sehingga kini masih merempat tidak ‘berumah’.

Beliau telah disingkirkan oleh UMNO baru yang beliau sendiri tubuhkan selepas UMNO lama diharamkan akibat perbalahan beliau dengan Tengku Razaleigh. Kemudian beliau disingkir lagi dari parti BERSATU yang beliau sendiri tubuhkan. Hari ini beliau berteduh di bawah parti haram iaitu PEJUANG yang belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Tidak cukup dengan itu dari enam (6) Ahli Parlimen yang disingkirkan bersama beliau, hanya empat (4) yang tinggal termasuk beliau apabila bekas Ketua ARMADA, Syed Saddiq meninggalkan beliau dengan menubuhkan MUDA dan terbaru Dr.Maszlee Malik mengumumkan meninggalkan PEJUANG yang belum sempat diluluskan ROS.

Beliau tahu bahawa beliau kini terasing dan sudah tidak berkuasa, maka kita tidak hairan beliau hari ini seperti “hilang akal” dan sering menyalahkan semua orang terhadap kegagalan beliau sendiri.

Jika kita melihat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak menyerang Mahathir sebaliknya beliau hanya melakukan kerja beliau sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang. Komited beliau terhadap tanggungjawab boleh dilihat apabila beberapa duta besar negara luar bertemu beliau membincangkan pelbagai isu. Ini amat berbeza dengan sikap Mahathir.

Saya yakin Dato’ Seri Anwar telah berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan ini terbukti melalui kenyataan beberapa Ahli Parlimen BN sendiri yang menyebabkan pertelingkahan besar antara UMNO dan BERSATU.

Sudah tentu untuk menjayakan usaha ini kita perlu menyingkirkan “ejen perosak” yang berusaha menggagalkan usaha ini dari dalam. Dan kita yakin pilihan rakyat pada 2018 lalu pasti akan mengemudi kepimpinan negara dalam masa terdekat melalui sidang parlimen tanpa perlu mengatur langkah seperti kerajaan “pintu belakang” Perikatan Nasional.

Razeef Rakimin
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.