July 30, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

UCAPAN DASAR KETUA ARMADA NASIONAL DI PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN PPBM.

UCAPAN DASAR KETUA ARMADA NASIONAL DI PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN (PAT) 2020

ARMADA menginsafi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang dihadapi oleh negara akibat pandemik Covid-19, sesuatu yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres sebagai krisis terburuk dalam tempoh 100 tahun sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. Antara akibatnya, masa depan generasi muda kini masih belum menentu.

PAT tahun ini dipanggil setelah melalui pemilihan sulung parti dalam tempoh yang sukar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun sebagai sebuah parti yang dinamik dan komited kepada amalan demokrasi, pemilihan tetap disempurnakan dan PAT kali ini buat julung kalinya berlangsung secara maya.

Semangat yang ditunjukkan oleh para penggerak adalah kesinambungan perjuangan bagi meneruskan peradaban Melayu dan Pribumi yang telah bertapak di rantau ini selama ratusan tahun.

Semangat yang sama juga akan memastikan Pemuda Bersatu dan rakan-rakan lain dalam Pemuda Perikatan Nasional dapat memberikan tawaran terbaik agar warga Malaysia yang majmuk dapat mengecapi kehidupan yang aman dan penuh muhibah di bawah payungan Seri Paduka Baginda.

Sebagai wahana pemuda, ARMADA beriltizam untuk menyantuni golongan belia resah, memecahkan ‘Dilema Melayu’ yang masih membelenggu, serta memimpin warga muda sehingga mencapai Kemerdekaan Kedua bagi Bangsa Malaysia. Untuk itu, Pemuda BERSATU mencadangkan tiga belas usul di bawah lima teras seperti berikut:

Teras 1: Belia Kunci Kemenangan

1. Sekurang-kurangnya 20% daripada calon pilihanraya dan lantikan pentadbiran mestilah terdiri daripada anak muda.

2. Menarik lebih ramai mahasiswa dan profesional muda melalui sayap Mahasiswa BERSATU Negara dan seterusnya ARMADA.

Teras 2: Anak Muda Mahir dan Maju

3. Rombakan segera sistem pendidikan termasuklah pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menjamin pendidikan berkualiti untuk jangka panjang, disokong skim jaminan pekerjaan untuk belia.

4. Sekurang-kurangnya seorang daripada setiap keluarga berkemahiran tinggi atau bekerja dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti teknologi hijau.

5. Pergantungan kepada pekerja asing harus dikurangkan, digantikan dengan pekerja tempatan dan teknologi.

Teras 3: Kehidupan Berkualiti

6. Dasar perumahan awam yang mampu milik, mampu sewa dan berintegrasi dengan ekonomi rakyat dan gaya hidup yang seimbang, mesra alam sekitar dan lestari.

7. Pendidikan sepanjang hayat yang mendepani cabaran teknologi, menyokong keperluan industri-industri baharu, dan disokong oleh infrastruktur yang merapatkan jurang digital.

8. Had umur pencen dikekalkan namun kajian lengkap harus dibuat untuk menguruskan
perubahan demografi masyarakat dengan berkesan.

Teras 4: Santuni Golongan Rentan

9. Peluang kedua untuk banduan dan golongan berisiko melalui skim rehabilitasi, kaunseling dan system sokongan jangka panjang.

10. Meningkatkan penglibatan orang kelainan upaya (OKU) dalam ekonomi dan masyarakat secara adil dan saksama.

Teras 5: Malaysia Di Persada Dunia

11. Demi Pax Aseana, menjamin keselamatan dan keterbukaan Selat Melaka dan Laut China Selatan untuk perdagangan dan trafik awam.

12. Malaysia sebagai Paksi Asia menjadi hub serantau dalam pelbagai bidang termasuk perbankan dan kewangan Islam, rujukan akademik, kajian dan lain-lain.

13. Menyeru agar Baitul Maqdis kekal di tangan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Misi utama BERSATU ialah menawarkan kepimpinan yang berwibawa, pemerintahan yang baik, demokrasi yang sihat dan negara yang adil dan saksama. Di samping itu, ia harus menepati citra anak muda yang hari ini membentuk kumpulan pengundi paling besar.

Di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketumbukan ARMADA dan BERSATU bersama rakan-rakan Perikatan Nasional akan mara ke pilihanraya seterusnya dengan tawaran yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL
Ketua ARMADA Nasional
28 November 2020

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: