Berita

Tiga adun PAS mohon ampun tak menghadap Sultan Perak

By Buletin TTKM

December 11, 2020

IPOH: PAS Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap seperti dititahkan baginda, Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui, lapor Berita Harian.

Beliau juga mengesahkan surat tersebar di media sosial, berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.

“Maka kami, saya Razman Zakaria (ADUN Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (ADUN Selama) dan Khalil Yahaya (ADUN Kubu Gajah) dengan rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin di atas kekhilafan tidak dapat mengadap seperti dititahkan baginda kepada kami bertiga pada 3 petang Selasa lalu.

“Sehubungan itu, PAS Perak akan mengutuskan surat memohon ampun dan maaf atas perkara itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Perak di sini, hari ini.

Razman turut memaklumkan surat bagi menyatakan permohonan maaf pihaknya kepada Sultan Nazrin akan dihantar petang ini.

“PAS Perak sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak Darul Ridzuan dan menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Petang ini juga kita hantar (surat ke istana). Tunggu jawapan dari istana (untuk Abdul Hadi mengadap). Surat (permohonan mengadap (Abdul Hadi) sudah sampai (istana),” katanya.

Sebelum ini, Razman memaklumkan keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Ditanya mengenai jawatan EXCO Perak, Razman berkata, senarai nama wakil dari ADUN PAS sudah diserah kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Sudah ada dengan Menteri Besar (nama ADUN PAS),” katanya.

Semalam, Datuk Saarani mengangkat sumpah bersama empat EXCO, tiga dari UMNO dan seorang dari Bersatu.

Sebarang keputusan mengenai lantikan lima lagi Exco Kerajaan Perak bergantung kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, baki lima exco kerajaan negeri itu akan dibuat apabila tiba masanya dan semua kekosongan itu akan diisi, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, sehingga kini cadangan nama itu tidak akan didedahkan dari segi perincian dan komposisi parti yang akan mengisi jawatan tersebut.

“InsyaALLAH, lima exco lagi kita akan penuhkan apabila tiba masanya. Kita akan penuhkan seperti sebelum ini bila tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.

“Harus diingat Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama exco. Hak mutlak untuk memperkenankan cadangan tersebut adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita sama ada wakil Pas akan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Perak dalam kerajaan baharu yang diketuainya. – Buletin TTKM –