Nama Stadium: “Ffira bermaksud hebat, Mikah pula nama malaikat” – Pegawai Daerah.

Alor Setar, 13 Dis: Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor menafikan dakwaan bahawa nama stadium Mini Ffira Mikah adalah sempena nama beliau yang diterbalikkan.

Sinar Harian memetik beliau sebagai berkata ia hanya kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.

Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. “

Hakim Ariff Md Noor

Tambahnya lagi, nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata kedua-dua perkataan itu adalah dari bahasa Sepanyol/Greek dan Arab.

Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab adalah sempena nama malaikat”

Hakim Ariff Md Noor

( Carian Buletin TTKM menggunakan kamus Sepanyol, Greek dan Arab gagal menemui perkataan terbabit)

Beliau turut menafikan pemilihan nama yang unik itu adalah untuk kejar glamor, sebaliknya ia adalah bertujuan untuk menyuntik semangat baharu bagi menarik perhatian ramai.

Walau bagaimanapun, Hakim Ariff juga berkata pihaknya tiada masalah untuk menukar nama kontroversi itu dan bersedia menurunkan papan nama Ffira Mikah bagi melenyapkan dakwaan.

“Selepas ini, ia akan dikenali sebagai Stadium Mini Kuala Nerang dan kita akan turunkan papan nama yang mengundang kontroversi itu”

Hakim Ariff Md Noor

Terdahulu, isu itu tular di media sosial setelah laman facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia menaikkan satu hantaran berhubung perkara tersebut dengan kapsyen “Kebahalolan apakah ini? Tak ada malu sikit pun?” dengan menyertakan pautan sumber dari laman facebook kelab bola sepak Kuala Nerang.

Pagi tadi, hantaran KN KIARA Football Club mengenai perasmian stadium mini itu oleh Hakim Ariff telah dipadamkan pentadbir laman tersebut dipercayai akibat serangan bertali arus dari warga net.

Sementara itu, pemerhatian kami mendapati hantaran nama stadium mini Ffira Mikah di laman facebook kelab bola sepak Kuala Nerang kini telah disunting kepada nama stadium mini Kuala Nerang oleh pentadbir laman kelab bola sepak terbabit. – Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.