Kartel Daging: 6 cadangan tangani kelemahan kawal selia halal secara bersepadu – Pemuda UMNO

ISU KARTEL DAGING: 6 CADANGAN UNTUK KERAJAAN TANGANI KELEMAHAN KAWAL SELIA HALAL SECARA BERSEPADU

  1. Pendedahan eksklusif media massa perdana mengenai wujudnya kartel yang menjalankan aktiviti haram selama 40 tahun membabitkan penyeludupan daging murah dari negara-negara yang persijilan Halalnya tidak diiktiraf JAKIM mahupun Jabatan Agama Islam Negeri sememangnya mencetus kegusaran umat Islam di negara ini.
  2. Kebimbangan dan keraguan orang ramai terhadap status Halal dan kebersihan daging import halal yang berada di pasaran dengan pelbagai berita-berita sensasi termasuklah campur aduk antara daging halal dan haram mesti ditangani segera oleh pihak Kerajaan.
  3. Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, isu seperti ini bukan kali pertama malah berulang kali timbul hingga menyerlahkan kekangan dan kelemahan ketara dalam isu penguatkuasaan dan kawal selia industri Halal di negara ini.
  4. Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa kuasa pensijilan Halal dan penguatkuasaan halal terletak di bawah bidang kuasa agensi-agensi yang berbeza.
  5. Kuasa pensijilan Halal ketika ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa JAKIM dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, sedangkan penguatkuasaan pula di bawah pelbagai agensi termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Kementerian Kesihatan, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.
  6. Dalam isu mengawal selia urusan import bekalan daging ke Malaysia pula bukan hanya terletak di bawah kuasa mutlak JAKIM, malah pelbagai agensi lain yang membabitkan beberapa peringkat termasuklah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Pelabuhan.
  7. Bagi menangani isu ini secara bersepadu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan 6 TINDAKAN SEGERA untuk dilakukan oleh Kerajaan:

(i) Mengisytiharkan dan mendedahkan nama-nama syarikat yang sedang disiasat dan disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram.

(ii) Mengambil tindakan semerta menarik semula bekalan daging yang telah memasuki pasaran dalam tempoh 2 minggu ini oleh syarikat-syarikat terbabit melibatkan semua peruncit dan pengedar bagi mengelakkan ianya dijual kepada rakyat dan pengusaha makanan.

(iii) Menubuhkan satu PASUKAN KHAS melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri Halal bagi mengenalpasti dalang sindiket kartel yang bertanggungjawab dan tindakan tegas diambil tanpa kompromi.

(iv) Menilai kembali kapasiti kakitangan persijilan Halal yang jelas tidak selari dengan bebanan dan keluasan cakupan tugas pengawasan sijil Halal dalam Malaysia dan di luar negara.
(Nota: Maklumat Pemuda UMNO terima terdapat kakitangan Halal di peringkat negeri yang masih bertaraf kontrak walaupun telah bekerja selama 8 tahun ke atas).

(v) Melakukan penambahan segera kakitangan pengawal seliaan Halal di JAKIM dan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mampu menampung keperluan mendesak bukan sahaja aspek persijilan Halal Malaysia bahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

(vi) Memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman Kerajaan Barisan Nasional bagi membangunkan industri Halal secara komprehensif dan bersepadu yang membabitkan sekurang-kurangnya 300 institusi baik agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri-Negeri hinggalah kepada swasta yang secara langsung terbabit dalam aspek kawal selia, pensijilan, penguatkuasaan dan pembangunan industri Halal Negara.

  1. Bagi Pemuda UMNO keenam-enam cadangan di atas wajar diambil tindakan segera oleh Kerajaan PN bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan logo Halal Malaysia yang diiktiraf seantero dunia tidak terjejas dan mampu dipertahankan.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

25 Disember 2020

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.