“Daging Ramly halal, tiada orang tengah” – Ramly Food Processing Sdn Bhd

Kuala Lumpur, 27 Dis: Ramly Food Processing Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata syarikat tersebut hanya mengimport daging dan lain-lain bahan mentah terus dari pengeluar dari luar negara dan dipantau sendiri oleh JAKIM secara berkala dan disahkan halal tanpa penglibatan orang tengah.

“RFPSB adalah sebuah syarikat bumiputera muslim yang dimiliki oleh sebuah keluarga dan kami amat menitik beratkan dan berhati-hati dalam isu ini sejak dahulu lagi” – Dato Dr Haji Ramly, Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd

Terdahulu, Kumpulan Allana, pengeluar daging berpusat di India semalam dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa status dagingnya dijaga rapi.

Loji penyembelihan Allana diluluskan oleh DVS, JAKIM dan KKM Malaysia dan pada masa ini semua Loji penyembelihan yang dimiliki telah diakreditasi sepenuhnya oleh Malaysia. Daging diperiksa dan dijual kepada pengimport Malaysia yang sudah lama kita kenali.

Terdapat kebolehkesanan (traceability) penuh untuk setiap kontena yang tiba ke Malaysia, dari pengimport ke pemborong kerana setiap kotak daging mempunyai kod QR yang dicetak. Pengimport termasuk jenama pemeroses daging terkemuka Ramly Food Processors yang telah menjalin hubungan dengan kami selama lebih dari 25 tahun.” – Kumpulan Allana

Kenyataan itu dikeluarkan susulan hantaran tular di facebook yang mendakwa 7 produk daging beku yang dibawa masuk kartel daging ke Malaysia diragui status halalnya hanya berdasarkan foto serbuan pihak berkuasa.

Sehingga kini, produk daging sejuk beku itu tidak diumumkan kerajaan walaupun didesak pelbagai pihak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, maklumat syarikat yang terbabit membekalkan daging itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Katanya, kes itu akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat dan selepas proses pendakwaan selesai baru nama syarikat yang terbabit dalam memalsukan logo halal akan didedahkan.

“Saya difahamkan minggu depan kes itu akan dibawa ke mahkamah dan selepas proses itu kita akan mendedahkan nama syarikat berkenaan.

“Kita dinasihatkan supaya tidak mendedahkan dahulu nama syarikat itu disebabkan masih dalam siasatan” – Datuk Rosol Wahid

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.