Kartel daging: Syarikat palsukan logo halal didakwa esok

SHAH ALAM, 29 Dis – Sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dengan kartel daging haram telah disita dan dijangka didakwa di mahkamah esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit menggunakan modus operandi dengan meletakkan cap sebuah syarikat pengeluar terkemuka negara pada daging import tersebut, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya bertindak menyita dan membeku aset syarikat tersebut dengan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Mungkin esok syarikat itu akan didakwa kerana memalsukan sijil halal dan cap halal.

“Kita juga mendapati syarikat itu ada 24 unit stamp getah daripada syarikat yang mempunyai jenama daging yang mempunyai permintaan tinggi,” – Datuk Rosol Wahid

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul mengenai isu kartel daging yang diragui status halal yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin.

Lebih sembilan orang Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).

Mengulas lanjut, Rosol berkata, sebanyak 5,000 logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut ditemui manakala 2,428 kotak daging beku yang menggunakan logo halal disyaki palsu bernilai RM738,640 disita.

“Kita juga menyita dua buah lori menggunakan logo halal Jakim yang dipalsukan dan jumlah sitaan bernilai RM1.03 juta,” – Datuk Rosol Wahid

Tambah Rosol, laporan mengatakan bahawa aktiviti kartel daging haram itu berlaku hampir 40 tahun tidak tepat.

Beliau juga berkata jabatan kimia telah mengesahkan daging disita tempoh hari bukannya daging kanggaroo, kuda atau babi. – Buletin TTKM-


Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.